KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein menunaikan janjinya untuk menyumbang RM55,000 hasil daripada bayaran saman Papagomo kepada dua tabung berkaitan kebajikan warga polis di sini hari ini.
Ia termasuk kepada Pusat Autisme Pengaman yang menempatkan anak-anak autisme dalam kalangan anggota pasukan keselamatan.
Razarudin berkata, sumbangan yang diberikan khusus bagi menyokong operasi pusat berkenaan yang memerlukan perbelanjaan bulanan tinggi melibatkan lebih 50 kanak-kanak dan 16 tenaga pengajar bagi sesi pagi dan petang.
“Pusat Autisme Pengaman ini tidak mendapat keuntungan. Setiap bulan kita terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk menampung operasi,” katanya selepas sesi penyerahan sumbangan bantuan Autisme kepada Persatuan Autisme PDRM di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan, sebelum ini, sebanyak RM25,000 telah disumbangkan kepada Tabung Amanah Warisan Polis membabitkan bayaran sebanyak RM15,000 dan RM10,000.
Sumbangan terkini berjumlah RM30,000 pula disalurkan khusus untuk program autisme, menjadikan keseluruhan jumlah bantuan mencecah RM55,000.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, wang yang disumbangkan adalah daripada bayaran yang diterima susulan saman fitnah yang diperoleh daripada pihak Papagomo yang juga penulis blog melalui proses mahkamah.
Sebelum ini, Papagomo atau namanya Wan Muhammad Azri Wan Deris dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan permohonan komital yang difailkan Razarudin terhadap Wan Muhammad Azri.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin.
Dalam penghakimannya, Gan berkata, permohonan maaf dibuat Wan Muhammad Azri di media sosial pada 1 Mei lalu tidak boleh diterima kerana tidak menunjukkan kekesalan.
Susulan itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 15 hari kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk memohon maaf dengan sempurna kepada Razarudin serta tambahan hukuman penjara 15 hari lagi kerana memuat naik video baharu yang tidak menunjukkan penyesalan.
Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.
Pada 27 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan nilai ganti rugi RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri membabitkan satu kenyataan yang turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, tindakan saman yang dibuat terhadap Wan Muhammad Azri bukan berkaitan individu bernama Razaruddin sebaliknya terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN).
“Saya saman bukan sebab duit. Ini kerana kedudukan IGP (KPN) tidak wajar difitnah. IGP adalah institusi yang mengetuai seluruh anggota (polis)” jelasnya.
Kes itu dijangka selesai pada 2026 mengikut perkembangan prosiding semasa.
Sementara itu. Razarudin menggesa agar lebih banyak pihak membantu memberikan sumbangan kepada pusat autism yang telah ditubuhkan lima tahun lalu.
Menurutnya, pusat berkenaan lebih berorientasikan tanggungjawab sosial dan bukan organisasi berasaskan keuntungan.
“Kalau boleh, saya minta pusat autisme ini dibantu dan diangkat. Ramai anak-anak polis perlukan sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette


