Lelaki Orang Asli sesat ketika cari petai ditemukan selamat

TANJUNG MALIM – Seorang lelaki Orang Asli yang dipercayai sesat selepas keluar mencari petai sejak semalam ditemukan selamat di kawasan ladang kelapa sawit dekat Ulu Slim, Slim River petang Isnin.

Mangsa, Zul Yok Tok, 35, ditemukan dalam keadaan lemah dan mengalami luka kecil di beberapa bahagian badan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 8.47 pagi tadi.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa dilaporkan keluar mencari petai di Bukit Berdak, Ulu Slim dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 tetapi tidak pulang sejak semalam. Kehilangannya disedari selepas bapanya membuat laporan di Balai Polis Slim Village.

“Usaha pencarian oleh pihak polis bersama penduduk kampung bermula sejak semalam di sekitar Ladang Risda dekat Ulu Slim, namun mereka hanya menemukan motosikal mangsa yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

“Operasi pencarian yang diteruskan hari ini dengan bantuan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa ditemukan pada jam 4.13 petang di kawasan kelapa sawit, kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Dewan Orang Ramai Ulu Slim,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya.

“Bapa mangsa memaklumkan kepada ketua operasi bahawa mereka akan membawa mangsa pulang terlebih dahulu dan membawanya ke hospital pada keesokan hari untuk menerima rawatan,” ujarnya.

Katanya, agensi lain yang turut terlibat dalam SAR hari ini termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village dan operasi tamat sepenuhnya jam 5.26 petang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia di kebun pisang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI