IPOH – Laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan sisa industri yang dipercayai dibuang daripada negeri lain menjadi punca lembu ternakan mati selepas didakwa memakan bahan buangan itu di Taman Tronoh Baru dekat sini baru-baru ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, JAS masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Laporan terakhir sudah dikeluarkan daripada JAS mengesahkan itu sebenarnya merupakan sisa buangan namun kita masih tidak dapat mengenal pasti siapa pelakunya.
“Memang sisa buangan itu dari industri dan disyaki masuk dari negeri lain. Jadi, JAS masih meneruskan siasatan dan akan mengambil tindakan tegas ke pihak yang terlibat,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Bahagian Korporat), Anita Amri.
Pada 9 November lalu, seorang penternak di Taman Tronoh Baru dekat sini mengalami kerugian apabila 17 ekor lembu ternakannya mati dipercayai akibat termakan rumput yang telah tercemar dengan bahan kimia berbahaya.
JAS kemudiannya telah mengambil beberapa sampel daripada sisa buangan tersebut pada 10 November susulan aduan yang diterima. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JAS Perak siasat dakwaan pencemaran kimia punca kematian lembu


