Perak perkukuh budaya inovasi, bawa ciptaan tempatan ke pasaran

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa bertekad dalam memastikan hasil inovasi dapat dikembangkan, dikomersialkan dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sokongan turut disalurkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan dan industri tempatan untuk membawa ciptaan rakyat Perak ke pasaran yang lebih luas.

Menurutnya, langkah ini bukan sahaja mengangkat inovasi ke tahap yang lebih tinggi, tetapi  membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan baharu, pembangunan kapasiti industri, serta pengukuhan daya saing negeri di pentas nasional dan global.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri komited memastikan inovasi tidak berhenti di meja pertandingan yang kita anjurkan ini sahaja.

“Ia mesti diteruskan hingga ke peringkat pelaksanaan dan dipantau supaya benar-benar memberi nilai tambah kepada sistem penyampaian awam serta kehidupan masyarakat.

“Inovasi yang berjaya bukan sahaja memudahkan urusan, tetapi membentuk budaya kerja yang lebih efisien dan berintegriti,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim mewakili Saarani pada Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Bahagian Korporat), Anita Amri.

Perak perkukuh budaya inovasi, bawa ciptaan tempatan ke pasaran
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim ketika hadir pada Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 NOVEMBER 2025.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, terdapat peningkatan penyertaan bagi Pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Perak 2025.

“Sebanyak 194 penyertaan diterima, meningkat hampir 45 peratus berbanding tahun lalu.  Lonjakan ini mencerminkan bahawa budaya inovasi di Perak semakin berkembang dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Di seluruh negeri, setiap idea yang dicetuskan diraikan, sama ada oleh jabatan kerajaan, sekolah, universiti, komuniti tempatan mahupun pertubuhan bukan kerajaan serta setiap satunya membawa potensi besar untuk pembangunan negeri.

“Antara kategori yang menarik perhatian ialah Lestari Bumi Hijau, yang memfokuskan kepada inovasi dalam kelestarian alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui dan pemeliharaan biodiversiti.

“Kategori ini menggambarkan keseimbangan antara kemajuan dan tanggungjawab terhadap alam serta generasi masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menekankan kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar sebagai teras utama pembangunan negeri.

“Setiap hasil inovasi yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada masyarakat, memperkukuh ekonomi tempatan dan menyumbang kepada masa depan yang lestari,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Green Tech Perak 2025 gerakkan transformasi tenaga hijau, inovasi mampan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI