JPJ kutip RM1.39 juta hasil kompaun sejak VEP dikuat kuasa

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM1,390,200 sejak penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di pintu masuk darat Malaysia–Singapura bermula 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan di tiga lokasi utama iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Taman Daya.

“Tindakan tegas diambil bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kewajipan pendaftaran VEP, khususnya membabitkan kenderaan asing.

“Bermula 15 November 2025, kenderaan persendirian syarikat yang masih gagal melengkapkan proses pendaftaran VEP akan dikenakan tindakan saman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI, Bukit Chagar, di sini, malam tadi.

Katanya, statistik bagi tempoh 1 Julai hingga 20 November lalu menunjukkan kutipan kompaun tertinggi direkodkan di BSI (RM595,200), diikuti KSAB (RM767,700) dan Taman Daya (RM27,300).

Sementara itu, katanya bagi tempoh 15 hingga 20 November 2025, sebanyak 159 notis saman dikeluarkan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang masih berstatus pradaftar atau gagal mematuhi syarat VEP.

Jazmanie menambah, JPJ turut merekodkan peningkatan jumlah pemasangan tag RFID, dengan 345,238 tag dipasang setakat 20 November.

Daripada jumlah itu katanya, 309,096 adalah kenderaan persendirian individu manakala 36,142 membabitkan kenderaan persendirian syarikat.

“Tindakan penguatkuasaan meliputi kenderaan yang tiada VEP, tamat tempoh serta berstatus pradaftar.

“Pemilik atau pemandu yang dikenakan saman juga diwajibkan menjelaskan bayaran sebelum keluar dari Malaysia, selaras dengan peruntukan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI