KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menafikan menerima serangan luar biasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Mengakui cabaran yang harus dihadapi termasuk serangan peluru politik kepada calon-calon, ia bagaimanapun tidak melemahkan semangat parti khususnya calon-calon.
“Ya.. memang ada, serangan dalam pelbagai bentuk.
“Fitnah sama ada fizikal atau spiritual, tetapi kita yakin dengan kekuatan dokongan, ia memberi semangat kepada calon-calon BN Sabah,” katanya selepas merasmikan Manifesto BN, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menekankan, BN sama sekali tidak akan berundur atau lemah semangat meskipun berdepan dengan serangan yang agresif sepanjang tempoh berkempen.
Terdahulu, pembentangan manifesto BN disampaikan oleh Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selepas Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dilapor tidak sihat.
Ahmad Zahid optimis BN boleh menang seberapa banyak kerusi yang dtandingi.
“Kalau boleh… nak menang semua, realitinya kita kena kerja kuat sebab seteru ada senjata ampuh menyerang kita,” katanya.
Namun, Ahmad Zahid mengingatkan rekod cemerlang gabungan itu dengan menekankan bahawa Sabah pernah berada di puncak pembangunan di bawah pentadbiran BN.
“Sabah di bawah BN sangat maju,” katanya.
Jelasnya, sekarang ini adalah masa untuk rakyat memberi mandat semula kepada BN untuk memajukan Sabah kembali. – MalaysiaGazette


