IPOH – Kerajaan Negeri bakal memperluaskan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ke Daerah Bagan Datuk bermula tahun hadapan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, Program Bas Perak Sejahtera telah menjadi lorong bergeraknya harapan dan impian rakyat.
“Di dalamnya, tersimpan kisah hidup rakyat, tempat si ayah menggantung harapan mencari rezeki, tempat si ibu menenangkan anak kecil yang dibawa ke klinik.
“Ia juga tempat anak-anak kampung menumpang impian untuk ke sekolah tanpa terhalang oleh jarak dan kesempitan berbelanja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Saarani berkata, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera bukan sekadar bergerak di atas jalan raya namun ia bergerak di atas doa-doa rakyat yang ingin memperbaiki kehidupan.
Jelasnya, Kerajaan Negeri mahu kemudahan yang disediakan itu menjadi sandaran kepada rakyat dalam membina kecerahan masa hadapan
“Bagi menyahut saranan dan harapan rakyat agar program murni ini diperluaskan, sukacita saya mengumumkan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera akan diperluaskan ke Daerah Bagan Datuk mulai tahun hadapan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.6 juta,” katanya. -MG Perak


