Impian pesara guru miliki rumah sendiri tercapai melalui program RMR

LENGGONG – Seorang pesara guru yang pernah mendiami kuarters sehingga bersara akhirnya merealisasikan impiannya memiliki rumah sendiri apabila menerima kunci rumah baharu di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Othman Mohd Mangun, 66, berkata, dia memasang impian untuk memiliki rumah sendiri bersama isterinya, Maziah Mohamed, 62 sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, rezeki memang tidak pernah salah apabila permohonan mereka dipilih kerajaan negeri melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam tempoh kurang setahun.

“Jadi saya bersyukurlah hari ini dijemput untuk menerima kunci. Kami sudah memohon dan berangan-angan untuk dapatkan rumah itu sejak lima tahun.

“Proses (permohonan) ini saya ingat tidak sampai setahun, kerajaan , PNB pilih kami. Alhamdulillah, kerana apa yang kami dapat ini maknanya lebih bertuahlah daripada orang yang lain,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Merdeka di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Othman berkata, usaha untuk memiliki kediaman sendiri itu juga dibuat demi masa depan anak-anak.

Impian pesara guru miliki rumah sendiri tercapai melalui program RMR
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi bergambar bersama penerima Surat Tawaran Subsidi dan replika Kunci Unit Rumah pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Dewan Merdeka, Lenggong, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 DISEMBER 2025.

“Kita berusaha ini untuk rezeki anak-anak juga dan untuk kita dapat rumah sendiri,” ujarnya yang memanfaatkan tanah pusaka untuk membina RMR di Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga anak ini menyifatkan proses untuk mendapatkan rumah tersebut sangat mudah dan teratur.

“Prosesnya sangat mudah. Alhamdulillah. Maknanya, kami masuk itu dari segi layanan memang ‘A’. Kemudian dari segi tempoh, dalam tiga minggu, terus lulus.

“Walaupun proses dilaksanakan secara berperingkat, tetapi semuanya dalam keadaan teratur,” katanya.

Impian pesara guru miliki rumah sendiri tercapai melalui program RMR
Penjawat awam, Nur Farhana Abdul Khalid, 35, menerima replika Kunci Unit Rumah pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Dewan Merdeka, Lenggong, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 DISEMBER 2025.

Sementara itu, penjawat awam, Nur Farhana binti Abdul Khalid, 35, yang mempunyai dua orang anak, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya memiliki rumah sendiri.

Nur Farhana berkata, proses untuk memiliki rumah tersebut berjalan lancar hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja semuanya selesai.

“Perjalanan untuk mendapatkan rumah itu pun mudah sebab kami hantar dalam bulan April dan semuanya lulus dalam tahun ini.

“Tahun ini juga kontraktor panggil nak tengok tapak and tahun ini juga siap. Kami pun sudah mula bayar sejak bulan ini (Disember),” katanya yang membina RMR di atas tanah milik ibunya di Kampung Kerunai, Gerik.

Dia memaklumkan akan berpindah ke rumah baharu bersama suami dan dua anaknya itu selepas bersalin anak ketiga. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bayaran balik pinjaman Rumah Mesra Rakyat memuaskan – SPNB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI