IPOH – Kejayaan menyiapkan 100 Ruang Komuniti (RUKOM) di seluruh negara dalam tempoh dua tahun menjadi mercu pencapaian penting Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pencapaian yang berjaya direalisasikan oleh URBANICE Malaysia seperti yang disasarkan itu, bukan sekadar penyediaan ruang komuniti, malah suatu usaha impak besar dan mendalam terhadap pemerkasaan kesejahteraan komuniti yang lebih harmoni serta berdaya huni.
“Kita berasa bersyukur atas usaha gigih URBANICE Malaysia satu lagi agensi di bawah KPKT dalam tempoh dua tahun berjaya menyempurnakan 100 RUKOM di kawasan perumahan pangsa termasuk PPR (Program Perumahan Rakyat).
“Dulu kawasan ini kotor, tidak boleh digunakan malah menjadi lokasi kutipan sampah. Kini ia berubah menjadi ruang berdaya unik, selamat dan selesa untuk komuniti berehat, beriadah dan membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada sidang media selepas merasmikan Ruang Komuniti (Rukom) ke-100 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang, di sini, pada Sabtu.
Tambah Kor Ming, kos pembinaan setiap Rukom sekitar RM20,000 hingga RM30,000 dan keseluruhan 100 Rukom dibangunkan dengan peruntukan kurang RM3 juta.
Katanya, di Perak sahaja sebanyak 12 RUKOM telah siap dibina dalam memastikan setiap komuniti perumahan rakyat mempunyai ruang yang inklusif untuk berinteraksi, berinovasi dan memperkukuh perpaduan.
Pelaksanaan RUKOM bermula pada 6 Julai 2023 dengan pembinaan ruang komuniti pertama di PPR Seri Malaysia, Kuala Lumpur.
Sejak itu, KPKT terus komited memperluaskan akses kepada RUKOM yang mesra rakyat dan mempunyai impak sosial tinggi khususnya kepada golongan B40. -MG Perak


