KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meningkatkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta, serta pengumuman perdana menteri menggandakan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada bulan Disember ini.
Ia menyifatkan langkah-langkah ini tepat pada masanya dan strategik ini memberikan kelegaan bermakna kepada segmen terkecil perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang sebahagiannya masih beroperasi dengan margin tipis, kapasiti pentadbiran terhad dan tekanan aliran tunai berterusan ekoran peningkatan kos operasi dan keadaan pembiayaan lebih ketat.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, pengumuman yang dibuat sebelum pelaksanaannya pada 1 Januari 2026, memberi kejelasan kepada perniagaan untuk merancang, di samping meringankan beban pematuhan segera.
Manakala peningkatan peruntukan bayaran balik cukai akan membantu mempercepatkan bayaran tertunggak, menawarkan sokongan kecairan kritikal dan mengurangkan tekanan kewangan merentasi sektor perkilangan dan PKS.
Menurutnya, berdasarkan penilaian dalaman FMM dan maklum balas ahli, sekitar 85%–90% syarikat ahli FMM berada dalam jadual pelaksanaan berfasa bagi e-Invois.
“Walaupun syarikat bersaiz sederhana dan besar umumnya bersedia, perusahaan mikro dan kecil telah menyuarakan kebimbangan terhadap kos dan penyesuaian operasi yang signifikan untuk mematuhi e-Invois mandatori.
“Bagi ramai PKS, peralihan ini bukan sekadar mengguna pakai format invois baharu. Ia memerlukan menaik taraf atau pembelian perisian perakaunan yang serasi, integrasi sistem dengan platform e-Invois nasional, dan memastikan kakitangan kewangan serta perakaunan dilatih secukupnya untuk mengendalikan proses baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jacob menambah, sudah tentu naik taraf ini melibatkan pelaburan awal dan kos berulang, komitmen yang sukar bagi firma kecil yang sudah terbeban dengan peningkatan kos input dan persekitaran persaingan yang sengit.
Oleh itu, katanya, langkah meningkatkan ambang pengecualian kepada RM1 juta, kerajaan telah memberi ruang bernafas penting kepada perniagaan mikro dan kecil untuk mendigitalkan operasi pada kadar yang lebih terkawal dan mampan.
Langkah ini juga akan membantu mengelakkan gangguan serta-merta kepada operasi dan mengelakkan kos pematuhan tambahan yang boleh terus menghakis margin keuntungan yang sedia tipis.
“Kesan segera daripada peningkatan ambang ini apabila dilaksanakan tahun depan ialah ribuan PKS terkecil dapat terus beroperasi tanpa tekanan untuk menaik taraf sistem secara mendadak atau memenuhi pematuhan mandatori, membolehkan mereka menstabilkan aliran tunai dan menambah baik proses dalaman sebelum membuat peralihan,” ujar beliau.
Jacob menjelaskan, walaupun peningkatan ambang ini merupakan langkah peralihan yang penting dan sangat diperlukan, FMM melihatnya sebagai sebahagian daripada laluan pendigitalan lebih luas dan beransur-ansur, bukannya pengganti jangka panjang kepada penerapan masa depan.
Dari semasa ke semasa, PKS masih akan mendapat manfaat daripada beralih kepada platform digital dan menyepadukannya dengan rantaian bekalan mereka, katanya.
Justeru, FMM menggalakkan perniagaan di bawah ambang baharu untuk mempertimbangkan penerapan secara sukarela apabila sudah bersedia, memandangkan e-Invois akhirnya akan menjadi sebahagian penting daripada ekosistem digital negara.
Berhubung penggandaan peruntukan bayaran balik cukai, FMM secara konsisten menekankan keperluan bagi mekanisme bayaran balik cukai yang cekap, boleh dijangka dan telus.
FMM turut mengulangi gesaan agar bayaran balik diproses dalam tempoh masa statutori yang jelas, idealnya dalam 90–120 hari selepas pemfailan dan pengesahan dibuat.
“Jika pembayaran berperingkat diperlukan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) harus memaklumkan jadual bayaran balik secara telus sejak awal.
“Kami juga menggesa agar faedah dibayar untuk bayaran balik yang tidak diselesaikan dalam tempoh statutori, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan, bagi mengukuhkan keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
Menurut Jacob, bayaran balik cukai yang tepat penting kerana banyak perniagaan beroperasi mengikut terma kredit dan sering berdepan jumlah penghutang besar, tetapi perlu membayar cukai terlebih dahulu sebelum menerima pendapatan sebenar.
Ia menyebabkan peniaga sering menggunakan simpanan tunai sendiri atau pinjaman bank dengan faedah, sekali gus menambah tekanan kepada aliran tunai yang sudah ketat.
Bagi memperkemas proses, FMM mencadangkan pendekatan berasaskan ambang, seperti pemberian bayaran balik penuh secara automatik bagi lebihan bayaran di bawah RM1 juta untuk mengurangkan beban pentadbiran ke atas pembayar cukai dan LHDNM.
“Kami juga amat menggalakkan pelaksanaan mekanisme offset automatik, yang mana lebihan bayaran cukai yang diisytiharkan digunakan secara automatik untuk liabiliti cukai akan datang.
“Ini akan mengurangkan keperluan kerajaan mengeluarkan sejumlah besar aliran tunai untuk bayaran balik, sambil meringankan beban pembiayaan syarikat yang sedang menyediakan ansuran cukai seterusnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette


