KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu hantaran pendek di media sosial memberi pandangan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melayan permintaan DAP.
Ini kerana menurut bekas Perdana Menteri paling lama mentadbir Malaysia, DAP tidak boleh keluar daripada kerajaan kerana apabila Kerajaan MADANI jatuh, parti tersebut juga akan jatuh.
“Apakah Reformasi yang dituntut oleh DAP? Anwar tak perlu layan DAP,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook, hari ini.
Selepas kekalahan besar dalam pada Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, DAP mengukuhkan ikrar untuk menggerakkan agenda reformasi yang menjadi tunjang manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-15 yang lalu.
Antara isu utama yang dibangkitkan adalah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan jika UEC diiktiraf sebaik sahaja beliau berundur.
Selain itu, terdapat keluhan daripada pengundi-pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan isu- isu berkaitan ekonomi termasuk pelaksanaan cukai, e-invios dan beberapa dasar baharu yang dikatakan membebankan peniaga terutamanya PKS.
Ini disuarakan secara lantang oleh Penasihat DAP, Lim Guan Eng menerusi 10 tuntutan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri dan dikongsikan beliau di Facebook, hari ini. -MalaysiaGazette


