Kini tibalah masanya untuk kesemua yang dilantik galas tanggungjawab – PM

KUALA LUMPUR – Tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
Pada masa sama, lapan timbalan menteri yang baharu dilantik turut mengangkat sumpah jawatan.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Singgahsana Kecil pada 10 pagi itu adalah susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, semalam.

Istiadat itu bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis penandatanganan dokumen rasmi pelantikan disaksikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri dalam hantaran di media sosialnya berkata, selepas istiadat mengangkat sumpah itu selesai, kini tiba masa untuk kesemua menteri dan timbalan menteri yang dilantik untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Kini tibalah masanya untuk kesemua yang diamanahkan ini menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan hikmah, berteraskan amanah yang luhur, demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” katanya.

Semalam Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu yang menyaksikan 10 lantikan baharu masing-masing melibatkan dua menteri dan lapan timbalan menteri.

Antara yang baharu dilantik adalah Datuk Mustapha Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) serta Mohamad Taufiq Johari (Menteri Belia dan Sukan).

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI