Masyarakat termasuk pelajar sekolah tahu Perak Sejahtera 2030

IPOH – Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diinspirasikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bukan sahaja diketahui golongan dewasa malah pelajar sekolah.

Perkara itu, diakui sendiri Saarani ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Anak Perak Sejahtera 2030 di Hotel Casuarina Meru, di sini pada Rabu.

Menurut Saarani, beliau sendiri telah menyaksikan pelbagai persembahan serta pertandingan melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah serta tingkatan enam yang menyentuh aspek Perak Sejahtera 2030.

“Menariknya sebelum ini saya telah menyaksikan persembahan ‘choral speaking’ daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Slim River dalam Bahasa Arab.

“Saya juga telah menyaksikan sendiri pelajar-pelajar sekolah rendah termasuk murid Orang Asli bercakap mengenai Perak Sejahtera 2030 dalam persembahan ‘coral speaking’,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni pelajar-pelajar ketika hadir ke majlis Malam Apresiasi Anak Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Tambah Saarani, situasi berkenaan mengambarkan bahawa sebahagian besar masyarakat di Perak terutamanya pelajar sekolah makin memahami apa itu Perak Sejahtera 2030.

“Maksudnya kita bolehlah menerima bahawa sebahagian besar daripada masyarakat dalam Perak ini terutama sekali anak-anak di sekolah sudah faham, sudah khatam apa yang kita maksudkan dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Malah tadi isi atau kandungan ‘choral speaking’ yang saya dengar video kreatif yang saya tonton dihasilkan pelajar menyebut serta menceritakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Menteri Besar Perak itu juga turut menegaskan bahawa manfaat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan hanya untuk golongan dewasa malah kepada generasi muda termasuk pelajar sekolah.

Ujar beliau, ini kerana golongan muda akan lebih memperoleh manfaatnya memandangkan perjalanan usia mereka masih panjang untuk menikmati Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diusahakan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada majlis Malam Apresiasi Anak Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Ia selari dengan projek berimpak tinggi yang sedang dan sudah dibangunkan kerajaan negeri seperti Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Hal ini sudah cukup memberi gambaran bahawa golongan muda termasuk pelajar sekolah berpeluang merebut peluang yang ditawarkan termasuklah lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan dalam tempoh 10 tahun.

Saarani turut menzahirkan kegembiraan beliau melihat bakat yang ditonjolkan pelajar sekolah di Perak yang merupakan pelapis masa hadapan serta bakal menjadi pemimpin negeri satu hari nanti.

Bagaimanapun Menteri Besar Perak itu mengingatkan bahawa pembangunan bakat dalam kalangan pelajar sekolah perlulah seiring dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang boleh ditimba golongan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni pelajar-pelajar ketika hadir ke majlis Malam Apresiasi Anak Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Untuk menjadi anak muda yang akan menjayakan Perak Sejahtera 2030 kita memerlukan orang muda Perak yang mempunyai ilmu dan kemahiran.

“Selain itu, ia bukanlah sekadar belajar dan memperoleh ijazah atau pengiktirafan tetapi yang paling penting dia boleh menggunakan ilmu dan kemahiran itu untuk dirinya, keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Itulah merupakan satu perbuatan, satu kekuatan untuk menjadikan kita berjaya menangani, membangunkan Perak berasaskan kepada Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI