PARIT – Seorang lelaki ditemukan maut selepas kereta jenis Proton Waja dipandunya dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Perak di Kampung Baru Layang-Layang Kanan, dekat sini semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.13 malam tadi.
Menurutnya, pihaknya bergerak ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berusia 34 tahun itu.
“Operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi ini dengan bantuan polis dan orang kampung menggunakan bot.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengarahkan anggota membuat pencarian di sekitar kawasan sungai menggunakan bot sejauh 100 meter dari jeti tempat kereta mangsa dipercayai jatuh menuju ke hilir sungai dibantu dengan anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) serta pihak polis.
“Anggota berjaya mengesan kedudukan kereta tersebut pada jarak kira-kira 20 meter dan memohon bantuan kren untuk mengeluarkannya dari sungai.
“Mayat mangsa dijumpai di dalam kereta tersebut pada jam 2.10 petang,“ katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 3.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati seorang saksi telah melihat kereta yang dipandu mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Katanya, saksi yang melihat kejadian itu segera memaklumkan kepada pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
“Polis serta bomba telah menemui kenderaan tersebut serta mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalamnya yang kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi,“ ujarnya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri iskandar untuk menjalani prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di talian 05-3712222 atau Balai Polis Parit bagi membantu siasatan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


