TAIPING – Dua anggota polis cedera selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 212.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Changkat Jering di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 9 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sekitar jam 7.50 pagi itu melibatkan sebuah lori jenis jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 33 tahun bersama kelindan berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari Johor menghala ke Parit Buntar.
“Bagaimanapun, lori tersebut telah terbabas sendiri lalu melanggar kereta jenis Honda City 1.5L I-Vtec yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama penumpang berumur 44 tahun.
“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan di kepala dan badan.
“Penumpang kereta tersebut telah dibawa ke Hospital Columbia dekat sini untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor V Gunalan di talian 012-627 3761. – MG Perak


