KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan esok sama ada Datuk Seri Najib Razak dibenar menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah atau meneruskannya di Penjara Kajang.
Hakim Alice Loke Yee Ching akan menyampaikan keputusan sama ada membenar atau menolak semakan kehakiman bekas Perdana Menteri untuk memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum.
Najib sudah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.
Jika permohonan semakan kehakiman dibenarkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan menjalani baki hukuman tiga tahun lagi sebagai tahanan rumah dan akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri masih menanti keputusan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya, Jumaat ini.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, persoalan mengenai kewujudan titah adendum tidak lagi menjadi pertikaian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika berhujah di Mahkamah Persekutuan, mengakui kewujudannya.
Apa yang menjadi persoalan, di mana keberadaan titah bertarikh 29 Januari 2024 itu walhal ia dikemukakan sendiri kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
Kerajaan bersetuju titah itu wujud namun mempertikaikan cara atau pendekatan bukti baharu itu dikemukakan di mahkamah.
Bagaimanapun, pasukan peguam mewakili Najib berpendirian Lembaga Pengampunan memberi diskaun kepada Najib terhadap hukuman penjara dan denda bagi kesalahan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. manakala titah adendum membolehkan baki hukuman penjara itu dijalani sebagai tahanan rumah.
Jika mahkamah membenarkan semakan kehakiman, dokumen tambahan itu perlu dikemukakan dan dikuatkuasakan serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di ibu negara bagi menjalani baki hukuman.
Pada asalnya, Najib dipenjara 12 tahun dan dikenakan denda RM210 juta, namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Semakan kehakiman Najib yang difailkan pada 1 April tahun lalu menelusuri perjalanan yang jauh dan `naik’ hingga ke Mahkamah Persekutuan selepas Peguam Negara mengemukakan rayuan.
Namun Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu memuktamadkannya dengan mengembalikan prosiding ke Mahkamah Tinggi untuk meritnya diputuskan.
Mahkamah tertinggi negara menolak rayuan Peguam Negara dan mengekalkan keputusan 2-1 Mahkamah Rayuan pada 28 April lalu yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan titah adendum.
Terdahulu, hakim Mahkamah Tinggi berlainan pada 3 Julai 2024 menolak permohonan Najib untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman atas alasan empat afidavit yang dikemukakannya hanya `dengar cakap’ (hearsay).
Dalam semakan kehakiman, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.- MalaysiaGazette


