IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian insentif bernilai RM500 kepada setiap seorang pengamal media di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme pengamal media dalam menyalurkan maklumat yang tepat berkenaan kerajaan negeri kepada masyarakat.

“Kita ikut negeri yang beri RM500. Ia tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia sebagai tanda penghargaan (kepada pengamal media),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Perak Sejahtera di Galasa Caldwell, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Beliau berkata, media menjadi sebahagian daripada ekosistem yang membantu pentadbiran supaya kerajaan negeri menjadi lebih matang dan baik.
Malah kata beliau, media di negeri ini turut memainkan peranan penting khususnya dalam menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030 melalui laporan-laporan berita.
Saarani berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan media tidak boleh dibiarkan berjalan secara kebetulan atau bersifat sementara.

Jelas beliau, sebaliknya ia mesti dipelihara dan disegarkan berasaskan kepada kepercayaan, keterbukaan dan rasa tanggungjawab bersama.
Tambah beliau lagi, apabila hubungan antara kedua-dua pihak itu sihat, naratif pembangunan dapat difahami dengan jelas, isu dapat diletakkan dalam konteks yang betul, dan rakyat tidak terperangkap dalam kekeliruan atau persepsi yang disalah tafsir.

“Dalam dunia yang sarat dengan maklumat separuh benar sensasi dan manipulasi emosi, peranan media yang bertanggungjawab menjadi semakin penting.
“Dan di sinilah saya melihat rakan-rakan media di Perak memainkan peranan yang besar, bukan sekadar mengejar kepantasan, tetapi menjaga ketepatan,” katanya.

Jelas beliau lagi, apabila kerajaan dan media bergerak seiring dengan peranan yang jelas dan saling menghormati, maka rakyat akan mendapat maklumat yang lebih matang, seimbang dan bermanfaat.
Terdahulu Pada malis, Saarani menyampaikan anugerah kepada pemenang pertandingan Anugerah Perak Sejahtera 2030 yang merangkumi sembilan kategori.
Kategori berkenaan adalah Anugerah Foto Esei Terbaik, Foto Terbaik, Video TV Terbaik, Video Digital Terbaik, Berita Terbaik (Media Cetak Bahasa Melayu), Berita Terbaik (Media Cetak Bukan Bahasa Melayu), Berita Digital Terbaik (Bahasa Melayu), Berita Digital Terbaik (Bukan Bahasa Melayu), Rencana Perak Sejahtera Terbaik.
MalaysiaGazette (MG) Perak memenangi enam kategori. – MG Perak


