Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera

MEMILIKI rumah sendiri merupakan impian setiap individu kerana ia adalah keperluan asas yang penting dalam menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan hidup.

Justeru, Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan Dashboard Hartanah@Perak, sebuah platform pelaporan digital berasaskan geospatial yang menyediakan maklumat pembangunan perumahan di seluruh negeri dipaparkan secara lebih terperinci, telus dan mudah dicapai.

Dashboard yang dibangunkan melalui kerjasama PerakGIS dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ini memeta dan memprofilkan projek perumahan meliputi perancangan, status pembinaan, lokasi, kategori perumahan serta kedudukan projek sakit dan projek terbengkalai.

Pembangunan platform ini selaras dengan flagship kedua Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam usaha kerajaan negeri bagi memperkukuh agenda Perumahan Sejahtera.

Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera
Rumah Perakku @ Parit Buntar. Foto ABDULLAH YUSOF.

Pemantauan data secara berkala

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Zaiteena Wan Nasir berkata, LPHP sentiasa memastikan ketepatan serta keterkinian data yang dipaparkan dalam dashboard tersebut melalui proses semakan dan pengesahan secara berkala bersama agensi teknikal berkaitan.

Menurutnya, semakan interim dilaksanakan secara berterusan termasuk melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Julai tahun lalu.

“Data berkaitan projek perumahan swasta, projek sakit dan projek terbengkalai diperoleh secara langsung daripada JPN sebagai sumber data primer memandangkan jabatan tersebut merupakan pihak yang mengiktiraf status sesuatu projek.

“LPHP sentiasa mengemas kini data ini dengan merujuk kepada JPN serta laman web rasmi jabatan berkenaan bagi memastikan maklumat yang dipaparkan adalah tepat dan boleh diguna pakai,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, baru-baru ini.

Sasaran 57,407 unit rumah menjelang 2030

Beliau berkata, LPHP menyasarkan penyediaan sebanyak 57,407 unit rumah sehingga 2030 merangkumi Rumah Perakku 1 (kos rendah), Rumah Perakku 2 (kos sederhana) dan Rumah Perakku 3 (kos sederhana tinggi), selain rumah harga terbuka.

Katanya, penetapan sasaran itu dibuat berdasarkan indikator pembangunan perumahan negeri termasuk jumlah penduduk dan kadar pemilikan hartanah di Perak yang direkodkan sebanyak 80.8 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Zaiteena Wan Nasir. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Jadi kami sasarkan inilah jumlah unit yang perlu disediakan dan dibangunkan oleh pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.

“Dalam dashboard ini, ia turut memaparkan data menyeluruh termasuk Kebenaran Merancang, status pembinaan projek sama ada telah siap, sedang dibina atau dalam perancangan, sekali gus membolehkan pemantauan kemajuan fizikal projek dibuat oleh pemain industri secara berperingkat mengikut sasaran tahunan,” ujarnya.

Katanya, pembangunan dashboard itu dilaksanakan secara berfasa dan akan ditambah baik dengan maklumat lebih komprehensif serta mesra pengguna pada masa hadapan, termasuk perincian berkaitan harga rumah tertakluk kepada kerjasama pihak pemaju.

Kesan projek bermasalah

Mengulas isu projek bermasalah, Zaiteena berkata, risiko kegagalan projek banyak bergantung kepada pemaju termasuk aspek kajian kebolehlaksanaan, kekuatan kewangan serta permintaan pasaran yang lazimnya dipengaruhi oleh faktor lokasi.

Namun begitu, katanya, LPHP memainkan peranan pemantauan rapi bermula daripada peringkat perancangan sehingga perolehan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JPN.

Tambahnya, data yang dipaparkan merupakan data kelulusan yang telah diperoleh melalui pengumpulan data daripada 15 PBT yang telah bermula pada April 2024.

Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera
Gambar hiasan.

“Kita akan mengesan projek gagal memperoleh CC iaitu bila tempoh projek itu terlalu lama ditinggalkan, daripada tapak, bila mula dapat kelulusan, masuk tapak sehingga mula kerja tapak.

“Data ini kita kumpulkan daripada setiap PBT, Majlis Daerah yang meluluskan kebenaran merancang dan dibuat mengikut kitaran secara berkala dan daripada maklumat itu, kita dapat tahu perkembangan projek yang sedang dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zaiteena menjelaskan bahawa LPHP turut melaksanakan sesi penyelarasan bersama jabatan teknikal PBT untuk memastikan kaedah, format dan tempoh pengumpulan data diseragamkan.

Katanya, setakat ini, rekod kelulusan sejak 2019 telah berjaya dikumpulkan dan dipaparkan dalam dashboard berkenaan.

“Bagi jangka masa panjang, LPHP merancang untuk menandatangani MoU bersama Bahagian Kerajaan Tempatan bagi memperkukuhkan integrasi data secara lebih formal,” ujarnya.

Akses awam melalui portal PerakGIS

Dashboard Hartanah@Perak perkukuh agenda perumahan sejahtera
Carta rumah tersedia untuk dijual oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP). Foto ABDULLAH YUSOF, 09 DISEMBER 2025.

Sementara itu, beliau memaklumkan, orang awam kini boleh mengakses dashboard tersebut melalui portal PerakGIS di bawah menu Info GIS yang menyediakan pelbagai aplikasi termasuk maklumat lokasi projek mengikut daerah, mukim, PBT, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kategori perumahan, jenis rumah dan status kelulusan.

Tambahnya, LPHP menerusi pasukan teknikal PerakGIS dalam usaha menambah baik dashboard tersebut dari semasa ke semasa mengikut perkembangan terkini dengan menambah maklumat yang lebih komprehensif serta mesra pengguna.

Melalui dashboard ini, kerajaan negeri dapat memantau pencapaian sasaran perumahan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih komprehensif, sekali gus menyediakan sumber rujukan yang jelas kepada PBT, agensi teknikal dan orang awam.

Terdahulu, Dashboard Hartanah@Perak telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dashboard Hartanah@Perak pantau sasaran perumahan Perak Sejahtera 2030

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI