IPOH – Sukan pickleball antara aktiviti riadah terbaru yang semakin popular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
Justeru, Kelab Sukan dan Kebajikan (KSKK) Jabatan Penerangan (Japen) Perak mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Pickleball Dink 4 Unity yang berlangsung di X-Treme Park Sunway Tambun, di sini pada Selasa.

Seramai 60 peserta melibatkan warga Japen Perak bersama pengamal media di negeri ini berentap dalam pertandingan yang melibatkan 30 pasukan itu.
Pengerusi KSKK Japen Perak, Azrul Md Zin berkata, penganjuran sukan ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan ukhwah antara warga Japen dan pengamal media di negeri ini.

Menurutnya, ia juga secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta untuk beriadah sambil berinteraksi dalam suasana santai.
“Suasana pertandingan jelas memperlihatkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan persaingan sihat dalam kalangan peserta.

“Program sebegini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan strategik antara Japen Perak dan rakan-rakan media,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut mezahirkan penghargaan kepada Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak di atas sumbangan, Media Perak serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan bagi menjayakan program tersebut.

“Kita berharap penganjuran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat perpaduan dan gaya hidup aktif dalam kalangan warga kerja dan rakan strategik jabatan,“ ujarnya.
Program itu berakhir dengan sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah yang disampaikan Pengarah Japen Perak, Azrul Hasan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Media rakan penting dalam pembangunan, pengurusan bandar raya


