PUTRAJAYA – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai serius dan berpotensi mencemar institusi pertahanan negara.
Penafian itu dibuat susulan dakwaan Chegubard yang mengaitkan nama Sabri dengan isu salah guna kuasa dan rasuah termasuk pendedahan beberapa dokumen yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa. Tuduhan tersebut sekali gus mengheret nama Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut penasihat perundangan beliau, Mohd Firdaus Jumaludin, segala dakwaan yang dilemparkan adalah tidak benar, mengelirukan serta bersifat fitnah yang serius terhadap individu dan institusi strategik negara.
Menurut Mohd Firdaus, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencemar reputasi dan kredibiliti institusi pertahanan yang menjadi tunjang keselamatan negara.
“Datuk Sabri Zali tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa,” katanya dalam sidang media di Puspahanas hari ini.
Pada sidang media sama, Mohd Firdaus turut menafikan kesahihan dokumen-dokumen yang didakwa dimiliki oleh Chegubard termasuk yang dikatakan sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.
“Datuk Sabri Zali tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan, mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut,” tegasnya lagi.
Tambah Mohd Firdaus, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks atau dimanipulasi tidak boleh dijadikan bukti bagi menyokong sebarang dakwaan salah laku.
“Dokumen sedemikian terbuka untuk diubah suai, direka-reka atau dimanipulasi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Sabri mengekalkan sepenuhnya hak undang-undang termasuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, segala isu berkaitan hanya akan dijawab secara rasmi dan mengikut lunas undang-undang.
“Datuk Sabri Zali tidak bertanggungjawab serta tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif sensasi,” jelas Mohd Firdaus lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Chegubard supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemar reputasi individu serta menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi keselamatan negara.
Untuk rekod, pada Disember lalu, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Sabri terlibat dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) pada Mei 2024. – MalaysiaGazette


