PADANG RENGAS – Cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor agar PAS menyertai Kerajaan Perpaduan perlu dilihat sebagai satu pandangan politik matang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan tersebut mencerminkan kematangan ke arah meredakan pertelingkahan politik ketika ini.
“Saya tidak fikir itu ialah satu tawaran ataupun satu kenyataan yang sepatutnya membimbangkan.
“Namun, sebagai sebuah parti yang lama dan ada kematangan dalam politik, saya rasa (cadangan itu) tidak salah.
“Ini kerana, ketika ini politik kita adalah bersifat dinamik yang ia memerlukan untuk pembangunan negeri mahupun negara. Sampai pilihan raya, kita berlawanlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sumbangan Kasih MADANI Kembali Ke Sekolah Parlimen Padang Rengas di Taman Puncak Bougainvillea, dekat sini, pada Sabtu.
Pada program, beliau menyampaikan bantuan awal persekolahan bagi sesi tahun ini kepada 500 pelajar membabitkan peruntukan RM500,000 bagi kawasan Parlimen Padang Rengas.
Pada Khamis media melaporkan AMK Selangor mencadangkan agar PAS mempertimbangkan langkah politik yang lebih matang dengan menyertai Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan masa depan negara.
Ketuanya, Muhammad Iman Haziq dilaporkan berkata, masa depan negara tidak seharusnya dipertaruhkan kepada gabungan politik yang rapuh selain dibelenggu rasa saling mencurigai.
Kenyataan itu dibuat selepas Pemuda PAS Selangor berpandangan sudah tiba masanya PAS melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, isu kemelut yang berlaku antara PAS dan BERSATU dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) juga wajar dijadikan pengajaran.

“Cadangan itu adalah suatu bentuk supaya kita dapat menghentikan pertelingkahan politik dan fokus kepada usaha kita.
“Biar macam tu dan biarlah mereka bergaduh, bercakar sesama mereka. Tetapi bagi kita adalah supaya kita dapat terus memberi tumpuan untuk memperkukuh ekonomi dan membangunkan negeri,“ katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, cadangan AMK Selangor itu juga dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan kestabilan politik negara demi pembangunan ekonomi.
“Dalam tempoh beberapa tahun ini, apabila ada kestabilan politik, kita lihat ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan baik. Kita dapat tarik lebih banyak pelaburan.
“Cuma ia tidak terlalu nampak (kepada masyarakat) sebab kadang-kadang berita seperti ini, ia tidak terlalu sensasi sepertimana sensasinya berita orang politik bergaduh,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ambil pengajaran sebelum bawa masuk Pas sertai Kerajaan Perpaduan


