LUMUT – Seramai 1,350 orang pelajar dalam kawasan Parlimen Lumut menerima sumbangan kelengkapan persekolahan sempena Program ‘Back To School’ atau Kembali Ke Sekolah Bersama Menteri Pendidikan Tinggi.
Program itu diadakan bertujuan membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan anak-anak sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula.
Sebanyak tiga lokasi dianjurkan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM Lumut, Pulau Pangkor serta Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 450 pelajar pada program yang diadakan di Dewan Merdeka, pada Ahad.
Program menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM300,000.
Melalui program berkenaan, setiap pelajar menerima baucar bernilai RM150 yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan serta sebuah beg sekolah, sebagai persediaan awal menghadapi sesi persekolahan baharu.

Ketika ditemui pemberita Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mengadakan pelbagai program yang bersifat kemasyarakatan bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Dari segi sumbangan-sumbangan yang kita berikan ini adalah datangnya daripada SSPN.
“Dan ia adalah dalam usaha kita untuk membantu pelajar-pelajar termasuk di peringkat bawah, di samping menggalakkan ibu bapa untuk menabung dalam SSPN,” katanya.
Sementara itu, Pelajar Sekolah Tinggi Nan Hwa, Koo Shi Bin, 16, menyambut baik inisiatif berkenaan apabila ia amat membantunya dalam mendapatkan barang-barang keperluan persekolahan.

“Selain pemberian beg, sumbangan baucar yang diterima juga dapat membantu saya untuk membeli sebarang peralatan untuk sesi persekolahan nanti,” ujarnya.
Pada masa sama, Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Dato’ Seri Kamaruddin, Putra Muhammad Amirul Fawwaz Mohd Firdaus, 16, berkata sumbangan yang diterima akan digunakan bagi melengkapkan barang keperluan lain.
“Dengan baucar RM150 yang diterima, saya akan beli barang persekolahan lain seperti set alat tulis dan bekas alat tulis,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
LKIM agih bantuan persekolahan kepada 100 anak nelayan Hilir Perak


