IPOH – Industri perkhidmatan perniagaan global (GBS) merupakan antara pemacu utama ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi di negeri Perak ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia berpotensi menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan kompetitif kepada rakyat tempatan.
Katanya, perkembangan industri GBS bukan sahaja selari dengan keperluan ekonomi digital masa kini, malah berpotensi menjadi pemangkin utama kepada transformasi struktur ekonomi negeri.
“Dengan kos operasi yang kompetitif, tenaga kerja muda dan berkemahiran serta sokongan institusi pendidikan dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Perak mempunyai kelebihan untuk terus menarik pelaburan dan membina ekosistem GBS yang berdaya saing.
“Untuk itu, kerajaan negeri melalui Digital Perak selaku agensi pemacu ekonomi digital negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat jangka panjang kepada negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn. Bhd di Basco Avenue@Kepayang, dekat sini, pada Khamis.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.
Pada majlis, Saarani turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Digital Perak dan A-Asign Corporation sebagai langkah awal kerjasama untuk meneroka peluang perniagaan digital baharu.
Mengulas lanjut Saarani berkata, keberadaan A-Asign Corporation di Ipoh melengkapkan peranan bandar raya itu sebagai hab GBS negeri atau GBS@Ipoh melalui pelbagai penawaran perkhidmatan.
Kata beliau, ia termasuk sokongan proses perniagaan, perkhidmatan teknologi maklumat serta penyelesaian digital berasaskan teknologi pintar.
Ketika ditanya tentang manfaat yang akan diterima para usahawan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Saarani berkata ,syarikat itu menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan digital yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.
“Saya dimaklumkan bahawa A-Asign Corporation menawarkan perkhidmatan kepada semua sektor yang berkaitan dengan digital, bukan hanya untuk usahawan sahaja.
“Dan saya yakin ia juga seiring dengan peranan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang juga sedang memperkasakan usahawan supaya mereka terlibat sepenuhnya dengan ekonomi digital,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak lancar Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030, Blueprint Bandar Pintar 2040


