PONTIAN – Cadangan pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar disokong malah amat praktikal dalam sistem pendidikan negara.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat, pelaksanaan dua peperiksaan penting tersebut iaitu di peringkat sekolah rendah dan menengah itu juga tidak akan membebankan pelajar.
Jelasnya, pelajar akan lebih bersedia dan fokus berbanding perlu berdepan satu peperiksaan sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa 11 tahun belajar di bangku sekolah.
“Sekarang ini dalam masa 11 tahun baru ada satu peperiksaan besar (SPM) untuk mereka. Kita lihat pada ketika itu sudah terlambat daripada segi mereka cuba memahami apa yang berlaku (dipelajari) bila berdepan peperiksaan besar.
“Jika mereka pernah berdepan dua kali peperiksaan besar, maka mental dan fizikal mereka akan lebih bersedia apabila berdepan peperiksaan besar dengan kemuncaknya iaitu SPM,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Jawa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, tidak bagus sekiranya pelajar tidak diuji dengan peperiksaan seperti UPSR atau PT3 dan terus didedahkan dengan peperiksaan SPM dalam masa 11 tahun belajar.
Jelasnya, peperiksaan seperti UPSR atau PT3 sudah pernah dilaksakan selama bertahun-tahun sebelum ini dan tidak pernah timbul sebarang masalah.
Kelmarin, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan akan mengkaji semula sistem peperiksaan negara melibatkan UPSR dan PT3 susulan polemik dibangkitkan masyarakat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) akan mendapatkan pandangan pakar pendidikan serta meneliti laporan dan data berkaitan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Susulan itu, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan cadangan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 kerana peperiksaan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang telah lama menjadi amalan di sekolah.
Alimuddin berkata, sejak kecil murid sentiasa melalui ujian bulanan, pertengahan tahun, akhir tahun dan peperiksaan besar, justeru perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.- MalaysiaGazette


