PAU 2025: Cabaran UMNO urus desakan keluar Kerajaan Madani, kerjasama dengan Pas

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang bakal membuka tirai esok tidak boleh mengelak daripada perbahasan mengenai keperluan untuk pemimpin parti itu mengkaji semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Meskipun sudah ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan kekal bersama Kerajaan Madani namun sentimen dalam kalangan ahli-ahli UMNO jelas kelihatan berbeza.

Gesaan untuk mengkaji semula kedudukan dalam kerajaan atau dalam istilah lebih jelas keluar dan menjadi pembangkang itu sering dikaitkan dengan sentimen bahawa UMNO sekadar `menumpang kuasa’ tanpa adanya dominasi.

Ia sekali gus menghakis identiti parti yang sejak sekian lama dianggap sebagai tunjang kepada politik orang Melayu dan Islam.

Dalam konteks ini, akar umbi melihat keperluan UMNO membina semula kekuatan secara lebih berprinsip walaupun berdepan risiko menjadi pembangkang.

Sentimen itu tidak boleh ditafsir secara emosional semata-mata tetapi perlu difahami dalam konteks realiti politik jangka panjang.

Seiring dengan gesaan untuk UMNO mempertimbang kedudukan dalam Kerajaan Madani, PAU 2025 juga tidak boleh lari daripada perbincangan memulakan kembali kerjasama dengan Pas, sama ada di bawah payung Muafakat Nasional (MN) atau gabungan lain.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, isu kerjasama dengan Pas itu mencerminkan dilema strategik UMNO yang mana dari satu sisi, kerjasama Melayu-Islam itu dilihat mampu menyatukan undi dan memulihkan kepercayaan sebahagian pengundi tradisional.

Namun, di sisi lain, katanya, sejarah konflik, perbezaan budaya politik dan implikasi terhadap hubungan dengan rakan bukan Melayu menjadikan isu itu sangat sensitif.

Disebabkan itu, tambah beliau, PAU 2025 dijangka menjadi medan pertembungan antara idealisme penyatuan ummah dan realiti politik semasa yang dihadapi UMNO.

“Persoalan yang lebih kritikal ialah sama ada kepimpinan UMNO benar-benar bersedia menerima dan mengurus suara akar umbi sekiranya dua isu ini dibangkitkan secara terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kesan kepada UMNO sekiranya isu keluar kerajaan dan kerjasama dengan Pas tidak diberi perhatian serius adalah signifikan.

Antaranya, kata Hussain Yusri, UMNO berdepan risiko krisis legitimasi dalaman, di mana kepimpinan dilihat terpisah daripada realiti di peringkat bawah.

Selain itu, tambah beliau, UMNO mungkin terus terperangkap dalam naratif defensif tanpa keupayaan membina agenda baharu yang lebih segar dan diyakini.

“UMNO juga boleh kehilangan peluang untuk melakukan pembaharuan strategik sebelum PRU akan datang,” katanya.

Menarik untuk diperhatikan juga apabila PAU 2025 sekali lagi menyaksikan gesaan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai usul terbanyak dibawa perwakilan seluruh negara.

Sedangkan, pengalaman dua PAU terdahulu menunjukkan pengulangan tuntutan tanpa strategi politik dan perundangan yang jelas bukan sahaja gagal mengubah keadaan, malah berisiko melemahkan kredibiliti parti.

Bagi Hussain Yusri, dalam konteks cabaran dalaman UMNO dan realiti politik kerajaan campuran, PAU seharusnya dimanfaatkan sebagai medan menetapkan hala tuju masa depan parti, bukan sekadar mengulangi isu lama yang tidak memberikan pulangan strategik.

Jelasnya, keupayaan UMNO untuk bergerak ke hadapan bergantung kepada keberanian kepimpinan menyeimbangkan sentimen kesetiaan dengan keperluan pembaharuan yang lebih meyakinkan dan berdaya saing.

Katanya, penekanan berlebihan terhadap isu pengampunan Najib di pentas PAU boleh mengalihkan fokus daripada agenda pembaharuan parti yang lebih mendesak.

“Dalam keadaan UMNO berdepan krisis sokongan pengundi muda, kemerosotan imej institusi, dan persoalan hala tuju ideologi, pengulangan naratif pengampunan berpotensi mengukuhkan persepsi bahawa UMNO masih terperangkap dalam politik personaliti, bukan politik masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI