KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa kesejahteraan kepada Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah yang dijadualkan menjalani rawatan kesihatan dalam masa terdekat.
“Mendoakan agar KDYMM Baginda Tuanku dikurniakan keafiatan yang berpanjangan serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar turut mendoakan Sultan Hasanal Bolkiah kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Menurut laporan media rasmi kerajaan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang lebih awal di Jerudong Park Medical Centre pada 18 Januari ini
Pengumuman khas berhubung perkara itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Paduka Seri Halbi Mohd Yussof menerusi siaran langsung di saluran media rasmi kerajaan, malam tadi.
Menurutnya lagi, Jabatan Perdana Menteri akan terus memaklumkan keadaan kesihatan Sultan setelah pembedahan ini dari masa ke semasa. -MalaysiaGazette


