Mahkamah Syariah Perak komited perkukuh prosiding digital

IPOH – Pelaksanaan pendigitalan Mahkamah Syariah akan terus diperkasakan secara menyeluruh, merangkumi aspek pendaftaran kes, pengurusan fail secara elektronik atau tanpa fail fizikal, serta pelaksanaan prosiding secara dalam talian.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, melangkah tahun 2026, Mahkamah Syariah Perak komited untuk beralih daripada kaedah konvensional kepada sistem kerja berasaskan digital.

Menurutnya, ia sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus kehakiman, tanpa menjejaskan prinsip keadilan, integriti dan ketelitian proses perundangan dan ianya bukan lagi pilihan.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman, mempercepat penyampaian keadilan, mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal serta memastikan perkhidmatan mahkamah kekal berdaya saing, telus dan responsif selaras dengan tuntutan semasa.

“Pendigitalan pendaftaran kes akan dilaksanakan bagi memastikan proses pemfailan menjadi lebih sistematik, cepat dan mudah diakses, di samping mengurangkan kesesakan di kaunter serta meningkatkan ketepatan rekod kehakiman.

“Pada masa kini pendaftaran kes secara dalam talian melalui Sistem e-Syariah Versi 3 menjadi medium utama dan telah dilaksanakan bagi Jabatan Bantuan Guaman, Bahagian Sokongan Keluarga dan Jabatan Pendakwa Syarie sejak tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Perak 2026 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini pada Khamis.

Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan akan diperluaskan kepada Peguam Syarie dan orang awam setelah isu teknikal dapat diselesaikan.

“InsyaAllah ianya akan diperluaskan pelaksanaanya kepada Peguam Syarie dan orang awam, apabila isu teknikal dapat diselesaikan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pada tahun 2026, pengurusan fail secara elektronik atau tanpa kertas akan diperluaskan sebagai sebahagian daripada usaha ke arah persekitaran kerja digital.

“Pada tahun ini pengurusan Fail Secara Eletronik atau tanpa kertas (paperless) akan diperluas sebagai sebahagian daripada usaha ke arah persekitaran kerja digital, sekali gus meningkatkan keselamatan dokumen, kecekapan capaian maklumat dan kelestarian pengurusan rekod mahkamah.

“Pelaksanaan tersebut telah dimulakan secara rintis di lima daerah terpilih iaitu Parit Buntar, Kuala Kangsar, Seri Iskandar, Tapah dan Muallim, sebelum diperluaskan ke seluruh Mahkamah Syariah Perak pada tahun 2027,“ katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan kemudahan persidangan video di Mahkamah Syariah Ipoh dan Mahkamah Syariah Taiping, iaitu dua mahkamah yang merekodkan jumlah pendaftaran kes tertinggi di negeri ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘eKSPerk’ pemudah cara daftar kes mahkamah syariah terpilih di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI