IPOH – Sepasukan anggota Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Perak berdepan detik cemas apabila terserempak dan berdepan dengan seekor harimau belang sebagaimana dalam video tular di media sosial.
Detik mendebarkan dalam video berdurasi lebih satu minit itu dipercayai dirakam ketika mereka menjalankan pemantauan haiwan berkenaan di sebuah kebun durian di Bukit Kinding, Chemor, sekitar jam 10.30 pagi, pada 11 Januari lalu.
Menerusi rakaman video tersebut, kedengaran suara anggota memberikan arahan agar kesemua mereka berundur sambil cuba untuk menakutkan haiwan berkenaan supaya ia beredar.
Walau bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya apabila harimau belang berkenaan dilihat semakin mendekati kumpulan anggota UKHM itu.
“Jaga-jaga… undur… ambil kayu,” jerit anggota berkenaan.
“Rimau… rimau (harimau), cepat naik kereta! Ada harimau, cepat masuk dulu!” kedengaran suara lain mencelah, disusuli arahan lebih tegas.
Sementara itu menerusi rakaman seterusnya memperlihatkan suasana bertukar kelam-kabut apabila semua pihak diarahkan segera menuju ke kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada berhampiran.
Seorang penunggang motosikal yang kelihatan dalam video berada di lokasi turut diarahkan meninggalkan motosikalnya itu dan segera menaiki kenderaan pacuan empat roda demi keselamatan.
“Masuk dulu… cepat!” jerit salah seorang yang berada di lokasi sambil memastikan tiada siapa tertinggal.
Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji ketenangan serta tindakan pantas pasukan UKHM dalam mengendalikan situasi berisiko tinggi melibatkan haiwan liar, khususnya harimau belang yang dilindungi.
Difahamkan, harimau belang yang dirakam dalam video tular itu adalah haiwan sama yang kemudiannya berjaya masuk ke dalam perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kawasan Bukit Kinding.
Pada Ahad media melaporkan seekor harimau belang dianggarkan berusia dua tahun memasuki perangkap PERHILITAN di Bukit Kinding.
Haiwan pemangsa seberat 75 kilogram itu memasuki perangkap tersebut pada jam 1 tengah hari menerusi operasi yang dijalankan jabatan tersebut ekoran aduan penduduk tentang kehadiran hawian itu di kawasan berkenaan.
Harimau berkenaan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan fizikal dan telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harimau kumbang baham anak lembu ditangkap


