Agong kecewa skandal rasuah libatkan pegawai tinggi ATM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baginda bertitah, rasuah yang berleluasa akan menghalang rancangan negara untuk maju sambil menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan segera tanpa mengira kedudukan individu yang disiasat.

“Saya kecewa kerana terdapat kes-kes rasuah dalam angkatan tentera, sehingga ke peringkat tertinggi. Nampaknya saya mungkin terpaksa melantik seorang sarjan sebagai ketua angkatan tentera.

“Ini hanyalah puncak gunung ais, saya pasti masih banyak lagi di luar sana, sama ada di jabatan kastam atau imigresen, polis dan lain-lain. Dan mungkin juga dalam Dewan Rakyat ini.

“Kepada semua penjawat awam, harap diingat bahawa jika anda menyalahgunakan kuasa atau membantu mereka yang rasuah, anda adalah pengkhianat kepada negara,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2026 hari ini.

Dalam pada itu baginda bertitah, amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dengan penglibatan aktif rakyat sebagai mata dan telinga negara, termasuk melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.

Sultan Ibrahim turut menekankan agar tindakan tegas dikenakan bukan sahaja terhadap penerima, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Tindakan menyeluruh ini dilihat penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem keadilan negara.

Selain itu baginda turut meminta, kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman serta mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah.

Langkah tersebut tegas baginda bertujuan memastikan kes dapat diselesaikan dengan segera, sekali gus mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan integriti proses perundangan.

“Usaha bersepadu antara rakyat, SPRM dan kerajaan ini dianggap sebagai kunci utama dalam membanteras rasuah secara berkesan demi kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat,” tegas baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI