KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong sepenuhnya ketegasan Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan seluruh rakyat bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi asas jati diri dan perpaduan negara berbilang kaum.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa menzahirkan taat setia serta menjunjung kasih kepada baginda atas titah menegaskan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan keperluan mengutamakannya dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi sebaliknya berperanan sebagai pemangkin utama perpaduan nasional dan lambang kedaulatan negara yang perlu dihormati serta dipertahankan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Perkasa berpandangan setiap warganegara wajib menguasai dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik sebagai tanda kesetiaan kepada negara serta penghormatan terhadap Perlembagaan.
“Titah Tuanku agar tiada pihak memandang ringan keupayaan berbahasa Melayu adalah peringatan yang tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan .
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius dan melaksanakan titah berkenaan dengan penuh tanggungjawab, khususnya dengan memastikan semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan dan aliran lain mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Tambahnya, pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diyakini mampu memperkukuh perpaduan nasional, mengukuhkan identiti Malaysia serta memastikan generasi akan datang memahami dan menghargai asas kenegaraan yang dipersetujui sejak kemerdekaan. dan keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette


