PUTRAJAYA – Kemasukan pendidikan awal kanak-kanak menerusi prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan ke darjah satu pula ditetapkan pada usia enam tahun mulai 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ibu bapa boleh mendaftar anak-anak secara sukarela ke tahun satu seawal usia enam tahun secara sukarela bermula tahun hadapan.
“Kita galakkan ibu bapa yang bersedia dari sekarang supaya mendaftar anak-anak berumur lima tahun untuk masuk prasekolah.
“Prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan seluruh sistem prasekolah itu kita minta Kementerian Pendidikan ambil alih dan selaraskan mulai umur lima tahun dan darjah satu pula bermula umur enam tahun,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Anwar berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Selain itu, kata Anwar, kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi menambah baik bukan sahaja kemudahan sekolah rendah dan menengah, bahkan mutu pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Mutu sekolah itu dipertikai, kemudahan asas dan sebagainya, pada 2023, saya luluskan RM1 bilion hanya nak selesaikan masalah tandas sahaja.
“Setiap Jumaat saya solat Jumaat, mesti anak-anak sekolah datang, saya tanya masih ada lagi (tandas rosak), kita akan cuba pantau dan perbaiki,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan turut akan memilih lima sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan di setiap daerah untuk dilengkapkan dengan kemudahan asas sebaik mungkin.
“Saya sudah maklum kepada Kementerian Kewangan bincang dengan Kementerian Pendidikan apa yang kurang, ini bukan sekolah asrama penuh atau sekolah menengah sains, ini sekolah di daerah-daerah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


