PARIT – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Perak disarankan mencari kaedah khusus dalam menanggani masalah sekolah kurang murid yang dihadapi negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sekolah kurang murid bukanlah satu masalah namun ia memerlukan perhatian khusus dalam menambah bilangan pelajar.
Menurut beliau, sekolah kurang murid pada asalnya mempunyai kepadatan pelajar namun disebabkan populasi setempat berkurangan ia mula mengalami kemerosotan dari segi kemasukan pelajar.
“Sekolah kurang murid ini sebenarnya bukan satu masalah dan kita perlu mencari satu kaedah yang mungkin boleh kita letakkan sekolah kurang murid ini mempunyai satu KPI (penunjuk prestasi utama) yang tertentu.
“Ini kerana sebab pelajarnya yang kurang, penumpuan oleh guru lebih khusus dan tumpuan kepada kepimpinan masyarakat juga boleh nampak lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke sesi penyerahan Rumah Perakku Prihatin Yayasan Perak (RPPYP) di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, di sini pada Selasa.
Khairudin berkata, sekolah kurang murid tidak boleh ditutup atau dipindahkan dengan sewenangnya ekoran ia mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, justeru itu, sesi libat urus membabitkan kepimpinan masyarakat dan agensi tertentu bersama JPN Perak dan PPD boleh diadakan dalam mencari penyelesaian bersama.
“Jangan jadikan sekolah kurang murid ini tidak boleh mencipta kejayaan dan kecemerlangan tetapi jadikan ia sebagai salah satu medan untuk kita mencemerlangkan anak-anak kita.
“Ini kerana tumpuan yang diberikan guru-guru di sekolah kurang murid kepada pelajar akan lebih terperinci dan teliti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar memaklumkan sebanyak 252 sekolah di Perak diklasifikasi sebagai sekolah kurang murid pada 2026.
Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar antara yang paling tertinggi jumlah SKM iaitu 33 sekolah diikuti PPD Bagan Datuk (32) dan PPD Batang Padang (30).
Tambahnya, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil adalah yang paling tinggi merekodkan SKM iaitu 91 manakala Sekolah Kebangsaan (SK) sebanyak 79 sekolah diikuti SJK Cina (70) dan SK Orang Asli (12). -MG Perak


