IPOH – Malaysia kini berada dalam fasa transformasi besar apabila penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), sistem pintar, automasi dan penyelesaian cekap tenaga dipercepatkan merentasi pelbagai sektor utama negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, langkah tersebut sejajar dengan agenda inovasi nasional yang digerakkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Di bawah agenda inovasi nasional MOSTI, pelbagai inisiatif digerakkan dalam bidang kecerdasan buatan, transformasi digital, pembuatan pintar, teknologi hijau dan kejuruteraan bernilai tinggi.
“Namun, teknologi tidak boleh wujud secara terasing. Nilai sebenar teknologi hanya dapat direalisasikan apabila ia diintegrasikan ke dalam infrastruktur sebenar seperti bangunan, kilang, hospital, sistem pengangkutan dan kemudahan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada media selepas Majlis Pelancaran Prospektus Kumpulan Kee Ming Berhad (Kee Ming) di Hotel AC Hotel by Marriot, dekat sini, pada Rabu.
Majlis yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kee Ming, Tengku Faizwa Tengku Razif serta Pengarah Urusan Kee Ming, Liew Kar Hoe.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, haluan transformasi teknologi negara turut sejajar dengan visi pembangunan jangka panjang di negeri Perak yang menjadikan inovasi, pendigitalan dan kejuruteraan maju sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi.

“Ketika Perak memperkukuh asas perindustriannya, permintaan terhadap penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang bersedia menghadapi masa hadapan, cekap tenaga dan berasaskan teknologi semakin meningkat,” katanya.
Mengulas aspek modal insan, beliau menegaskan bahawa pembangunan bakat kekal sebagai keutamaan utama di bawah kerangka Kerajaan MADANI yang menekankan pertumbuhan inklusif, mampan dan berteraskan rakyat.
Kata beliau, perkembangan operasi syarikat Kee Ming, iaitu syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) sebagai sebuah syarikat tersenarai awam membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada jurutera, juruteknik dan profesional teknologi tempatan.
“Keupayaan teknikal serta pengalaman industri Kee Ming meletakkan kumpulan ini pada kedudukan yang baik untuk bekerjasama dengan penyedia teknologi, syarikat pemula, institusi penyelidikan dan agensi kerajaan dalam ekosistem MOSTI.
“Pemain industri merupakan rakan strategik utama dalam usaha ini melalui latihan berstruktur, program peningkatan kemahiran, kerjasama industri akademik serta pendedahan kepada aplikasi dunia sebenar teknologi termaju,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SBP sedia laksana syarat 70 peratus kemasukan dari aliran STEM


