IPOH – Kerajaan Perak mensasarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM1.48 bilion tahun ini berbanding RM1.4 bilion pada 2025, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata, kerajaan negeri berjaya melepasi sasaran tahun lalu dengan kutipan mencecah hampir RM1.5 bilion melepasi sasaran lebih 106 peratus.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan apabila sistem berfungsi dan pelaksanaan berdisiplin, hasil negeri boleh dipertingkatkan secara konsisten.
“Pada saya, ini bukan semata-mata angka yang hendak kita kejar, tapi lebih penting ia mesti menjadi penanda aras kepada kecekapan, akauntabiliti dan kesungguhan pentadbiran kita.
“Ia juga menuntut pendekatan yang lebih strategik, dan boleh diukur,” katanya ketika berucap sempena Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Saarani dalam ucapan beliau turut mengumumkan lima pendekatan strategik bagi meningkatkan hasil negeri Perak iaitu memaksimumkan potensi hasil sedia ada; mendapat pulangan yang adil daripada pembangunan dan penggunaan sumber; hasil bandar dan sektor pelancongan perlu diurus secara lebih sistematik; Badan Berkanun Negeri mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam memperkukuh kedudukan fiskal negeri dan disiplin perbelanjaan dan nilai untuk wang.
Selain itu, Saarani turut mengumumkan lima fokus utama kerajaan negeri bagi 2026 iaitu Pengukuhan Hasil dan Kelestarian Ekonomi Negeri; Penyelesaian Aduan dan Isu Rakyat Secara Tuntas; Transformasi Digital, Data dan AI Dalam Perkhidmatan Awam; Menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Pemerkasaan Budaya Kerja dan Keupayaan Pentadbiran.
Sementara itu, dalam sidang media, Saarani berkata, keperluan untuk menyediakan peruntukkan yang besar amat tinggi dan kerana itu semua pihak perlu seiiring menuju tujuan dan sasaran yang sama.
Jelas beliau, keputusan menetapkan sasaran kutipan hasil RM1.48 bilion diputuskan selepas mendengar takliat daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dalam mesyuarat exco.
“Kita berpuas hari dan yakin ia mampu dicapai. Sudah tentu kita kena kerja kuat dengan memaksimumkan potensi hasil sedia ada.
“Maksudnya jangan ada tunggakan cuai berulang, proses-proses yang boleh membantu menambah dana seperti permohonan tanah kerajaan perlu cepat diproses supaya bila diluluskan kita dapat kutipan premium dan cukai,” katanya.
Tambah Saarani selain itu, beberapa hasil baru seperti hasil bandar, sektor pelancongan dan sumber air juga mampu menambah kutipan hasil negeri pada tahun ini.
“Ini semua benda baru yang boleh kita kutip dan saya yakin kalau ia dapat dilaksanakan dengan betul dan telus maka sasaran RM1.48 bilion itu boleh dicapai. Malah mungkin lebih daripada itu,” katanya. -MG Perak


