Jadikan TMM 2026 kayu ukur sistem penyampaian kerajaan negeri – Saarani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru semua pihak menjadikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sebagai kayu ukur dan ujian sebenar terhadap keupayaan sistem penyampaian kerajaan negeri dari peringkat dasar hingga ke paling hadapan.

Menurut beliau, TMM 2026 bukan bersifat sektoral atau hanya suatu program pelancongan di mana diletakkan tugas di bahu Exco Pelancongan Loh Sze Yee dan Tourism Perak.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah milik kita bersama. Ia bukan kempen kerajaan semata-mata, tetapi cerminan nama baik perkhidmatan awam negeri.

“Jika kita melaksanakannya dengan baik, manfaatnya akan dinikmati oleh ekonomi negeri, komuniti tempatan dan reputasi Perak untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikn ucapan pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini pada Khamis.

Berucap lanjut, Saarani berkata, persepsi pelancong terhadap negeri ini tidak hanya sekadar melalui iklan dan slogan sebaliknya melalui pengalaman sebenar di lapangan.

Katanya, pelancong menilai melalui kebersihan, keadaan jalan, kemudahan parkir, layanan pegawai dan kepantasan kerajaan menangani masalah kecil yang memberi kesan besar kepada pengalaman mereka.

“TMM 2026 perlu menjadi cermin kepada tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan kita sebagai kerajaan, di mana imej negeri akan dipaparkan di pelbagai platform terutamanya media sosial iaitu medium utama warga maya berkongsi pengalaman melancong mereka.

“Itu menjadi cabaran kita kerana jangkaan rakyat dan pelawat semakin tinggi. Media sosial menjadikan setiap kelemahan mudah tersebar dan kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada imej negeri,” katanya.

Menurut Saarani, bagi menjayakan TMM 2026, usaha yang digerakkan tidak boleh beroperasi secara silo atau menganggap bahawa ia adalah tanggungjawab satu jabatan atau satu portfolio semata-mata.

Justeru itu katanya, jentera kerajaan perlu mengambil tanggungjawab di mana setiap jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peranan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Sistem penyampaian di peringkat paling hampir dengan pelawat juga perlu diperkukuh. Isu kebersihan, penyelenggaraan, papan tanda, penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter mesti diberi perhatian serius.

“Pengalaman pelawat ditentukan oleh perkara asas dan kegagalan mengurus perkara asas akan dilihat sebagai kegagalan kita sebagai pentadbir,” katanya.

Tambah beliau, setiap PBT dan daerah juga digalakkan menonjolkan keunikan destinasi utama masing-masing dengan memanfaatkan kepelbagaian Perak yang merangkumi warisan, alam semula jadi, gastronomi dan potensi pelancongan komuniti dan rekreasi.

“PBT dan pentadbiran daerah perlu berperanan sebagai ‘destination manager’. Peranan ini merangkumi cara pelawat menerima maklumat, bagaimana isu kecil ditangani dengan pantas, bagaimana komuniti tempatan dilibatkan dan bagaimana pengalaman pelawat disantuni dari mula hingga akhir.

“Pelancong yang datang tidak hanya melawat pejabat kerajaan, sebaliknya mereka merasai pengalaman di daerah dan layanan masyarakat setempat,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI