KEKUATAN sebuah kerajaan negeri tidak diukur melalui idea dan perancangan tetapi melalui keupayaan membiayai pembangunan, melindungi rakyat dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Perak di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melaksanakan pengukuhan hasil dan kelestarian ekonomi negeri bagi tahun 2026 dalam memastikan kesejahteraan rakyat selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sebagai sebuah negeri yang makmur dan sejahtera Perak berjaya merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024 dengan peningkatan ketara sebanyak 2.7 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ekonomi mencecah RM86.2 bilion.
Ini menunjukkan bahawa ekonomi negeri berada pada landasan pertumbuhan yang lebih stabil.
Saarani dalam ucapannya pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak berkata, rakyat negeri ini boleh berbangga apabila prestasi kewangan negeri dalam tahun-tahun kebelakangan.
Katanya, bagi tahun 2025 misalnya, sasaran hasil negeri ditetapkan sebanyak RM1.4 bilion, dan kutipan yang berjaya dicapai mencecah hampir RM1.5 bilion, melepasi sasaran lebih 106 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa apabila sistem berfungsi dan pelaksanaan berdisiplin, hasil boleh dipertingkatkan secara konsisten.
“Dan sukacita saya memaklumkan khabar gembira bahawa Perak sekali lagi berjaya menutup akaun dengan surplus Akaun Hasil Disatukan bagi tahun 2025.
“Berdasarkan laporan yang belum diaudit, nilai surplus yang direkodkan pada tahun 2025 ialah RM85 juta iaitu yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah. Ia merupakan catatan surplus untuk empat tahun berturut-turut sejak tahun 2022,” katanya.
Sifat kepimpinan Menteri Besar Perak itu dapat dilihat apabila beliau menyuarakan penghargaan dan taniah atas usaha yang dilakukan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG), Pejabat Kewangan Negeri, dan semua Pejabat Daerah dan Tanah yang mempamerkan prestasi cemerlang mencapai 100 peratus sasaran kutipan hasil pada tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan agar kejayaan yang dikecapi itu tidak menjadikan agensi dan jabatan terlalu selesa ekoran cabaran tahun 2026 lebih besar dan lebih kompleks.
Katanya, keperluan pembangunan meningkat, kos penyelenggaraan bertambah, kos kesiapsiagaan bencana juga bertambah. Kita juga perlu melabur secara strategik untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.
“Dan paling penting, jangkaan atau expectation rakyat terhadap mutu perkhidmatan kita saban hari semakin tinggi.
“Point saya ialah: jika kita mahu membangun dengan lebih pantas, mampan dan lestari, maka Perak memerlukan hasil yang lebih kukuh dan lebih stabil,” katanya.
Justeru itu, beliau mengumumkan kerajaan negeri mensasarkan kutipan hasil 2026 sebanyak RM1.48 bilion dalam memastikan Perak terus mengecapi kejayaan, ekonomi terus makmur dan rakyat terus sejahtera seiiring Pelan Perak Sejahtera 2030.
Saarani perkenal lima pendekatan strategik tingkat hasil negeri 2026
Saarani berkata, sasaran berkenaan bukanlah semata-mata angka yang hendak dikejar, tapi lebih penting ia mesti menjadi penanda aras kepada kecekapan, akauntabiliti dan kesungguhan pentadbiran kerajana negeri yang menuntut pendekatan lebih strategik dan boleh diukur.
Ekoran itu, beliau menggariskan lima pendekatan dalam memastikan hasil negeri terus meningkat dan sekaligus mampu melepasi sasaran seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pendekatan pertama yang diumumkan Saarani adalah dengan memaksimumkan potensi hasil sedia ada, khususnya dalam sektor pentadbiran tanah melibatkan proses pembangunan tanah, tukar syarat tanah dan kutipan premium perlu dipercepat tanpa menjejaskan tadbir urus.
Ia termasuklah penggunaan Van Kutipan Hasil yang terbukti meningkatkan prestasi kutipan perlu diperluaskan; memanfaatkan pendigitalan dan peluasan saluran bayaran sepenuhnya; mengurangkan tunggakan hasil dan meningkatkan kadar kutipan.
Katanya lagi, bayaran digital melalui pelbagai platform sedia ada seperti e-Tanah mesti menjadi amalan tanpa pengecualian.
Pendekatan kedua pula melibatkan pulangan yang adil daripada pembangunan dan penggunaan sumber kepada kerajaan negeri melalui pengurusan sumber air, sumber mineral termasuk NR-REE, serta aktiviti ekonomi berkaitan yang diurus secara tersusun dan berdisiplin.

Hasil bandar dan sektor pelancongan yang diurus secara lebih sistematik, selari dengan persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 menjadi pendekatan ketiga diumumkan Saarani.
“Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan mesti diterjemah kepada hasil yang tersusun. Misalnya, Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) bagi tempahan bilik penginapan disasarkan menjana hasil yang lebih tinggi pada tahun ini iaitu RM6 juta berbanding RM5 juta tahun lalu,” katanya.
Pendekatan keempat pula melibatkan peranan yang dimainkan Badan Berkanun Negeri supaya lebih aktif dalam memperkukuh kedudukan fiskal negeri dengan usaha memacu pendapatan perlu dilipatgandakan memandang kemampuan GLC meningkatkan prestasi kewangan akan menjadi antara pemangkin kepada kekuatan fiskal Negeri.
Akhir sekali, pendekatan kelima melalui pengukuhan hasil berjalan seiring dengan disiplin perbelanjaan dan nilai untuk wang
“Kita tidak boleh hanya bercakap tentang meningkatkan hasil, tetapi pada masa yang sama membenarkan perbelanjaan yang tidak memberi impak jelas kepada rakyat.
“Tahun 2026 menuntut kita beralih daripada budaya ‘spend because we can’ kepada ‘spend because it matters’. Maknanya, setiap ringgit yang dibelanjakan mesti boleh dipertahankan dari segi manfaatnya, bukan sekadar dijelaskan di atas kertas,” katanya. -MG Perak


