IPOH – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menyediakan segala keperluan di kesemua 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara susulan pengumuman kerajaan bahawa pendidikan prasekolah dimulakan pada usia lima tahun bermula depan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah penyelarasan pendidikan prasekolah itu merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan memastikan keseragaman serta kualiti pendidikan awal kanak-kanak di tabika berkenaan di seluruh negara.

“Kita juga mendengar pengumuman bahawa semua sistem prasekolah termasuk Tabika Perpaduan di bawah KPN akan diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Saya berpandangan ia akan mengambil sedikit masa (bagi kajian dan tindakan lanjut sebelum menjelang tahun 2027), namun saya merasakan ia adalah tindakan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Cek Cura atau Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Peringkat Ipoh di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua, di sini, pada Sabtu.
Pada program beliau menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada 10 wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Ipoh.
Hadir sama, Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Media pada Rabu melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun, bermula tahun depan.
Anwar juga dilaporkan berkata, KPM juga telah diminta untuk memberi tumpuan serta mengambil alih seluruh seluruh sistem prasekolah untuk bagi diselaraskan.
Mengulas lanjut Aaron berkata, penyelarasan itu juga disifatkan sebagai selari dengan hasrat kerajaan dalam menyusun semula puluhan ribu institusi prasekolah yang wujud ketika ini bagi memastikan standard pendidikan yang lebih seragam dan berkesan.
“Jika itu yang diputuskan, maka kita akan ikut kerana sudah pasti, setiap dasar yang diadakan adalah untuk keperluan yang baik untuk menyelaraskan pendidikan di seluruh negara.
“Itu adalah inisiatif kerajaan dan saya fikir ia satu langkah yang baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sambutan terhadap Tabika Perpaduan memberangsangkan dengan sebahagian besar pusat pendidikan prasekolah tersebut telah mencapai kapasiti penuh.
Kata beliau, seramai 33,000 kanak-kanak telah mendaftar di 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara setakat ini.
“Sekarang ini, kita masih menjalankan promosi bagi kelas-kelas yang masih mempunyai kekosongan. Jumlahnya kecil sahaja, sekitar 100 hingga 150 orang lagi untuk melengkapkan semua tabika.
“Secara umumnya, di Tabika Perpaduan, kita bergantung kepada keluasan dan saiz premis. Biasanya kita hanya boleh ambil sekitar 25 orang kanak-kanak bagi satu-satu kelas,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Prasekolah umur 5 tahun, darjah satu 6 tahun secara sukarela bermula 2027 – PM


