IPOH – Perak tidak akan membenarkan pengenaan sebarang caj bagi penyediaan beg plastik jinjit sekali guna atau pakai buang kepada pelanggan di semua premis perniagaan termasuk pasar raya bermula 1 Mac ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, ia susulan daripada keputusan kerajaan negeri yang menguatkuasakan larangan penyediaan beg berkenaan yang turut meliputi kawasan hutan simpan kekal, taman negeri dan kawasan pelancongan Geopark.

Katanya, sekiranya terdapat pelanggaran ketetapan itu, pihak pemilik premis boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selepas dari 1 Mac, semua premis perniagaan tidak boleh mengenakan sebarang caj (termasuk caj 20 sen) dengan tujuan penyediaan beg plastik jinjit sekali guna kepada pelanggan.
“Sebaliknya, yang boleh dijual kepada pelanggan hanyalah untuk beg yang boleh digunakan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui mengadakan lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik (PSC) di kompleks beli-belah AEON BiG Falim, dekat sini, pada Sabtu.

Pada Disember lalu media melaporkan, Perak menangguhkan pelaksanaan larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis di negeri daripada bermula 1 Januari 2026 kepada 1 Mac, bagi memberi tempoh persediaan yang mencukupi kepada pengguna dan peniaga.
Larangan itu melibatkan premis tetap seperti pasar raya besar dan hypermarket, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai rangkaian, farmasi serta premis berkaitan.
Selain itu, larangan berkenaan turut meliputi kawasan khas termasuk Hutan Simpan, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negeri Pulau Sembilan, Geopark Lenggong serta Geopark Lembah Kinta.
Ketika diminta mengulas berkenaan respons peniaga terhadap larangan itu, Kok Lim berkata, bahagian besar pengusaha premis besar sudah bersedia untuk mengadaptasi perubahan tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, penting untuk masyarakat mengambil berat dan cakna tentang usaha memelihara serta memulihara kelestarian alam sekitar melalui pengurangan penggunaan beg plastik.
“Jika tidak ada tindakan yang tegas, sampai bila kita nak tunggu perubahan? Kita kena menguatkuasakan peraturan seperti ini supaya budaya baru ini dapat diterima ramai.
“Jika dahulu kita mula dengan pelaksanaan pada hari Sabtu sahaja, namun selepas 1 Mac ini larangan akan berkuat kuasa setiap hari. Pemantauan dan penguatkuasaan juga akan dilaksanakan dengan lebih ketat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penubuhan PSC di AEON BiG Falim merupakan inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan bahan plastik secara bertanggungjawab.
Kata beliau, pusat itu berfungsi sebagai platform pendedahan kepada komuniti mengenai inovasi plastik, kaedah pengoptimuman penggunaan serta amalan kelestarian.
Jelas Kok Lim, penubuhan PSC itu juga mendapat kerjasama daripada Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) Perak dan SIRIM.
“PSC bukan bukan pusat kitar semula, sebaliknya ia akan menganjurkan program pendidikan untuk mendidik komuniti tentang bagaimana penggunaan plastik boleh diurus secara lebih bertanggungjawab.
“Ia merupakan idea yang inovatif dan mungkin yang pertama diwujudkan dalam pusat membeli-belah, bukan sahaja di Ipoh malah di Malaysia,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Larangan beg plastik pakai buang di Perak bermula 1 Mac 2026


