IPOH – Selipar yang diperbuat daripada tayar terbuang kini menjadi simbol inovasi lestari melalui pendekatan kitar semula berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dan konsep ini diterjemahkan secara jelas oleh jenama lokal RIGHTNOW.
Menerusi penggunaan bahan kitar semula dalam penghasilan selipar, RIGHTNOW bukan sahaja mengurangkan sisa buangan industri, malah menampilkan produk berfungsi, tahan lama dan beridentiti tempatan.
Ini selari dengan falsafah jenama tersebut untuk menghargai masa kini sambil memelihara kelestarian masa hadapan.

Guna corak daun getah pertama dari Kuala Kangsar
Pengasasnya, Vince Loh Yew Foong, 35, berkata, jenama tersebut bermula sejak tahun 2023 bersama rakan kongsinya, Edison Thew Tee Sen, 30.
Menurutnya, setakat ini jenama RIGHTNOW memfokuskan tiga produk utama iaitu selipar, baju dan topi.
“Jenama kami bermula pada tahun 2023 dan telah didaftarkan tanda dagang (trademark). Di Malaysia, kami boleh dianggap sebagai perintis untuk jenama ini dari segi reka bentuk kasut.
“Dari segi rekaan, lihat di bahagian atas, tapak tengah dan tapak luar semuanya direka oleh sendiri oleh kami.

“Produk utama keluaran kami iaitu selipar mempunyai sejarah yang sangat menarik kerana reka bentuk tapak luar adalah asli daripada daun getah yang berasal dari Kuala Kangsar.
“Pada tahun 1877, pokok getah pertama telah dibawa oleh British dan ditanam di Kuala Kangsar dan beberapa tahun lalu kami ke sana untuk memetik daun daripada pokok getah pertama itu.
“Kami menggunakan kertas untuk melakar daun tersebut dan mendigitalkannya menggunakan perisian. Akhirnya, kami menghasilkan sesuatu seperti tapak luar selipar.
“Seterusnya, kami membuat acuan dan menggunakan tayar kitar semula untuk membentuknya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Bazar Kandang Kuda (Ipoh Stables Market) di sini baru-baru ini.

Reka selipar tahan lasak
Vince berkata, idea untuk menghasilkan selipar tercetus daripada pengalaman peribadinya sebagai pencinta aktiviti luar, khususnya aktiviti air.
“Saya seorang yang suka aktiviti luar seperti ke air terjun dan selalunya ia mudah basah dan susah kerinh serta tapaknya mudah lekang jika selalu dibasuh.
“Jadi mereka selipar yang berbeza, lebih tahan lama dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna berdasarkan pengalaman peribadi saya,” ujarnya.
Lebihan material hotel jadi beg
Dalam pada itu, Vince memaklumkan, RIGHTNOW turut bekerjasama dengan jenama lain iaitu Pieces dalam menghasilkan beg daripada lebihan material hotel bertaraf lima bintang sebagai usaha menyokong kelestarian alam sekitar.

“Beg-beg yang dijual di sini adalah daripada jenama Pieces. Mereka sebenarnya memfokuskan perkhidmatan menggunakan hotel bertaraf lima bintang.
“Apabila membekalkan barangan ke hotel, seperti langsir atau sofa, mereka ada lebihan material dan bagi mengelakkan pembaziran, mereka menggunakan material tersebut untuk menghasilkan beg-beg ini,“ ujarnya.
Produk buatan tangan keluaran anak tempatan
Mengulas mengenai harga, beliau menjelaskan kos produk adalah lebih tinggi kerana kesemuanya dihasilkan secara buatan tangan dan dibuat sepenuhnya di Malaysia.
“Bagi sesetengah orang, harganya mungkin sedikit tinggi, tetapi sebenarnya ia kerana kos. Beg, baju, dan yang paling penting selipar kami semuanya dibuat dengan tangan. Semuanya buatan Malaysia kerana kami mahu menyokong produk tempatan.

“Walaupun tapak luar selipar perlu menggunakan acuan, tetapi dari segi jahitan, semuanya memang buatan tangan sepenuhnya,” jelasnya.
Dari segi pemasaran, anak muda kelahiran Ipoh ini memberi tumpuan utama kepada platform dalam talian menerusi laman sesawang rasminya, di samping memasarkan produk mereka di kedai fizikal pertama mereka di Ipoh Stables Market bagi menguji pasaran.

Inisiatif yang dibawa oleh RIGHTNOW selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan usahawan tempatan serta kelestarian alam sekitar.
Usaha inovatif anak jati Perak ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem industri kreatif dan kitar semula negeri, malah menyumbang kepada agenda menjadikan Perak sebagai negeri berdaya huni, berdaya saing dan sejahtera untuk generasi masa kini dan akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Galeri Seni Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara


