IPOH – Tiga syarikat perlombongan bijih timah dan unsur nadir bumi karbonat (REC) yang sebelum ini didakwa terbabit dengan pencemaran beberapa sungai di Gerik telah dibenarkan untuk beroperasi semula.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebenaran tersebut diberikan selepas ketiga-tiga syarikat terlibat menerima surat pelepasan rasmi pada 13 Januari lalu.
“Tujuan arahan diberhentikan pengoperasian perlombongan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan ekoran sungai bertukar warna kebiruan.
“Dan berdasarkan laporan memang terdapat pelanggan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkaitan.
“Oleh sebab itu, siasatan dibuat oleh jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan dan setelah berpuas hati (dengan hasil siasatan), maka mereka diberikan semula kebenaran beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim serta Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Pada majlis Saarani menyampaikan Sijil Amalan Tatakelola Cemerlang serta Sijil Penghargaan Kerjasama Program Pembudayaan Integriti dan Antirasuah kepada wakil pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Saarani menegaskan, kerajaan negeri mengambil pendirian tegas terhadap pematuhan SOP oleh semua syarikat perlombongan, khususnya yang terlibat dengan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Tegas beliau, semua syarikat diminta untuk mematuhi sepenuhnya garis panduan yang telah ditetapkan tanpa sebarang cubaan untuk mengelak atau mengambil jalan pintas, walaupun ia melibatkan pertambahan kos operasi.
“Kerajaan negeri meletakkan soal kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keperluan untuk mendapatkan pendapatan berasaskan pelombongan itu.
“Oleh itu semua pihak perlu patuh kepada SOP, supaya tak berlaku masalah sepertimana telah berlaku sebelum ini,” ujar beliau.
Tambah Saarani, tindakan penggantungan operasi akibat pelanggaran SOP berkaitan juga akan merugikan pengusaha lombong kerana mereka terpaksa menanggung kos syarikat tanpa sebarang pendapatan.
“Apabila diarahkan pemberhentian operasi sementara, maka mereka akan mengalami kerugian kerana perlu membayar gaji pekerja tanpa meraih sebarang pendapatan.
“Oleh sebab itu kita tekankan untuk mereka patuh kepada segala peraturan yang ditetapkan ini,” katanya lagi.
Pada Oktober 2025, timbul dakwaan pencemaran sungai di Gerik apabila didakwa air bertukar biru sehingga dikhuatiri menjejaskan kualiti air dan kesihatan penduduk setempat.
Susulan itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengaktifkan gerak kerja pasukan khas pada 26 dan 27 November lalu, membabitkan agensi teknikal termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan sebagainya.
Ia bagi menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air sungai di kawasan terlibat seperti Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


