Integriti, tadbir urus baik tunjang Pelan Perak Sejahtera 2030

IPOH – Kerajaan Negeri Perak meletakkan soal integriti dan tadbir urus baik sebagai tunjang Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mana ia bukan sekadar penghias dasar, tetapi sebagai standard kerja.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana pembangunan sosioekonomi sesebuah negeri bukan hanya berkisar soal angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau bangunan yang tersergam, sebaliknya integriti adalah roh kepada kemajuan.

Katanya, tanpa integriti, hasil pembangunan mudah bocor di samping keyakinan oleh rakyat serta pelabur sukar dipertahankan.

integriti dan tadbir urus Pelan Perak Sejahtera 2030 Pelan Perak Sejahtera 2030 tadbir urus baik kerajaan negeri integriti pentadbiran Perak antirasuah Perak Menteri Besar Perak Saarani Mohamad keyakinan pelabur di Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 26 JANUARI 2026.

“Pelabur hanya datang apabila mereka yakin sistem kita adil dan telus. Rakyat hanya percaya apabila mereka melihat bantuan sampai kepada yang berhak.

“Dan keadilan sosial hanya wujud apabila peluang diberi berdasarkan kelayakan, bukan hubungan atau pengaruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim serta Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.

Program berkenaan dianjurkan SPRM Perak dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama, Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACelO); Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

Pada majlis Saarani menyampaikan Sijil Amalan Tatakelola Cemerlang serta Sijil Penghargaan Kerjasama Program Pembudayaan Integriti dan Antirasuah kepada wakil pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar pada Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 26 JANUARI 2026.

Dalam ucapan sama beliau berkata, integriti tidak terbina melalui arahan semata-mata, sebaliknya ia hadir melalui pendidikan, dipelihara oleh sistem, dan diterjemah melalui teladan kepimpinan.

Kata Saarani, apabila integriti terpelihara, kepercayaan oleh semua pihak akan terbina, namun apabila ia mula dikompromi, walaupun dalam perkara kecil, maka kepercayaan akan terhakis.

“Sejarah mengajar kita bahawa kejatuhan bukan selalu bermula dengan musuh dari luar, tetapi sering berpunca daripada pengkhianatan amanah dari dalam.

“Apabila integriti terhakis sedikit demi sedikit, kekuasaan akhirnya menjadi rapuh tanpa disedari,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kuatkan integriti, bukan gilakan jawatan dan mabuk kuasa – Sultan Nazrin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI