Perak medan magnet pelaburan berdaya saing

LANGKAH Kerajaan Negeri Perak dalam memacu agenda pembangunan ekonomi menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 kini memperlihatkan perkembangan yang baik.

Tidak hanya sekadar bergantung kepada sektor tradisional, negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dilihat sedang giat memperkemas ekosistem pelaburan negeri bagi menarik minat pemain industri bernilai tinggi.

Perkembangan terkini juga memberi isyarat jelas bahawa Perak semakin diyakini sebagai hab pelaburan kompetitif di peringkat nasional dan serantau yang turut merangkumi pelbagai sektor.

Keupayaan Perak untuk menawarkan kestabilan politik, dasar yang konsisten, serta infrastruktur yang menyokong telah mewujudkan satu ‘medan magnet’ bagi pelbagai syarikat untuk bertapak dan berkembang.

Perak medan magnet pelaburan berdaya saing Pelan Perak Sejahtera 2030 pembangunan ekonomi Perak pelaburan berdaya saing Perak Menteri Besar Perak Saarani Mohamad industri teknologi hijau Perak ekonomi digital Perak nod perindustrian strategik Perak pembangunan modal insan TVET sektor perkhidmatan global Perak
Gambar hiasan. Foto AIZAT ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2024.

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Prospektus Kumpulan Kee Ming Berhad di Hotel AC by Marriot, di sini baru-baru ini, Saarani berkata, keperluan mewujudkan persekitaran pelaburan yang stabil, telus dan konsisten adalah asas kepada keyakinan pasaran.

Kata beliau, kejayaan sesebuah syarikat tidak dapat dibina dalam ruang kosong, sebaliknya ia hanya mampu berkembang dalam ekosistem yang menyediakan infrastruktur mencukupi dan tadbir urus yang jelas.

“Pelancaran prospektus bagi sebuah syarikat yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia menandakan isyarat keyakinan pasaran, bukan sahaja terhadap hala tuju syarikat, tetapi juga keyakinan kepada negeri Perak sebagai antara hab pelaburan berpotensi di negara ini

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk membina ruang dan prasyarat yang membolehkan syarikat tempatan berkembang, berdisiplin dan berdaya saing, tanpa mencampuri urusan perniagaan, tetapi memastikan ekosistem yang adil serta kondusif,” jelasnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) ketika pelancaran buku Prospektus Kee Ming Group Berhad di AC Hotel by Marriot, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JANUARI 2026.

Pendekatan ini secara tidak langsung mencerminkan kematangan pentadbiran negeri yang memahami bahawa perubahan landskap ekonomi di mana pelabur kini menilai keupayaan sesebuah lokasi bagi menyokong pertumbuhan yang berterusan.

Dalam konteks ini, penekanan terhadap ketelusan, tadbir urus baik dan akauntabiliti bukan sahaja ditujukan kepada sektor swasta, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengekalkan kredibiliti pentadbiran sebagai rakan strategik kepada industri.

Ekosistem kondusif, keyakinan pelabur

Melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 juga, kerajaan negeri juga telah menetapkan satu pendekatan pembangunan yang jelas dalam membina ekosistem ekonomi yang menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.

Saarani berkata, pendekatan itu menekankan kepastian dasar, pembangunan infrastruktur strategik, tenaga dan teknologi, serta pemerkasaan modal insan sebagai asas daya saing jangka panjang.

“Dalam kerangka ini, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal merupakan antara komponen teras yang menyokong peralihan industri merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, infrastruktur tenaga dan kecekapan operasi.

“Kepakaran ini bukan sahaja diperlukan, malah menjadi prasyarat kepada pembangunan industri moden,” katanya.

Suasana sekitar Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton di Proton Tanjung Malim. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 SEPTEMBER 2025.

Tambah beliau, Perak juga kini sedang membangunkan nod-nod perindustrian strategik yang dirancang secara bersepadu seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) di Manjung yang akan memacu sektor logistik, marin serta industri sokongan bernilai tinggi.

“Di bahagian utara negeri pula, Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan memfokuskan kepada industri berasaskan teknologi hijau dan tenaga mampan.

“Manakala di selatan, Tanjong Malim terus diperkukuh sebagai hab automotif serantau melalui Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV),” katanya.

Walau bagaimanapun Saarani berkata, pembangunan nod-nod itu tidak boleh berdiri sendiri sebaliknya ia memerlukan memerlukan rakan industri tempatan yang berkeupayaan tinggi untuk menyokong keperluan kejuruteraan, operasi, dan kecekapan tenaga.

Jelas beliau, ia bagi memastikan bahawa setiap pelaburan itu dapat direalisasikan secara berkesan dan mampu berdaya tahan.

Ipoh tumpuan sektor BGS, ekonomi digital

Satu lagi dimensi perkembangan ekonomi terkini di Perak adalah berkaitan tentang sektor Global Business Services atau Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan ekonomi digital.

Dengan kos operasi yang kompetitif dan kualiti hidup yang tinggi, Ipoh kini menjadi destinasi pilihan bagi syarikat perkhidmatan global untuk menubuhkan pejabat operasi mereka.

GBS merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan sistem sokongan berpusat untuk jabatan kewangan, sumber manusia dan teknologi maklumat kepada syarikat-syarikat besar tempatan serta syarikat besar antarabangsa.

Perak medan magnet pelaburan berdaya saing Pelan Perak Sejahtera 2030 pembangunan ekonomi Perak pelaburan berdaya saing Perak Menteri Besar Perak Saarani Mohamad industri teknologi hijau Perak ekonomi digital Perak nod perindustrian strategik Perak pembangunan modal insan TVET sektor perkhidmatan global Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga, kanan) ketika gimik perasmian Pembukaan Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn Bhd di Basco Avenue@Kepayang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2026.

Saarani berkata, sektor GBS bukan sekadar trend, tetapi ia adalah realiti ekonomi baharu yang membentuk cara dunia beroperasi menerusi pengurusan data, analitik, teknologi awan sehingga kepada kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar.

“Dan realiti ini berlaku di hadapan kita. Malah, Malaysia hari ini berada dalam kelompok hadapan sebagai lokasi perkhidmatan global, dan ini bukan berlaku secara kebetulan.

“Ia hasil kestabilan ekonomi, sokongan dasar yang konsisten serta keupayaan bakat di pelbagai sektor kompetitif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Operasi Baru A-Assign Corporation Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

 Bakat TVET terus diperkasa

Dalam usaha mempertingkatkan pembangunan negeri, Perak terus memberikan penekanan serius terhadap pembangunan modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Misalnya, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal diangkat sebagai komponen teras yang menyokong peralihan industri moden.

Kepakaran ini merupakan prasyarat utama untuk memastikan setiap pelaburan dalam nod perindustrian strategik dapat direalisasikan.

Suasana sekitar Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn Bhd di Basco Avenue@Kepayang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2026.

Saarani menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi masa hadapan di negeri ini harus dibina melalui kerjasama awam–swasta yang saling menguntungkan antara satu sama lain.

Kata beliau, pengukuhan integrasi kemahiran hijau dan literasi digital adalah asas kepada ekonomi berkemahiran tinggi yang inklusif, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan tenaga kerja belia yang kompetitif di peringkat global.

Gambar hiasan. Proses pengasingan mineral NR-REE di Kilang Malaco Mining Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 DISEMBER 2024.

“Pembangunan sektor perkhidmatan dan industri di Perak akan membuka ruang kepada anak-anak Perak untuk membina kerjaya berkemahiran tinggi di negeri sendiri, tanpa perlu berhijrah ke luar.

“Dan langkah itu kita perkukuhkan dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 yang memberi fokus kepada pengukuhan infrastruktur digital, pembangunan bakat tempatan serta penerapan teknologi pintar dan kecerdasan buatan agar kita benar-benar bersedia menghadapi perubahan ekonomi masa hadapan,” katanya lagi.

Secara keseluruhannya, Perak sedang memposisikan dirinya sebagai negeri yang bukan sahaja mesra pelabur, malah berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi perubahan struktur ekonomi global.

Perak medan magnet pelaburan berdaya saing Pelan Perak Sejahtera 2030 pembangunan ekonomi Perak pelaburan berdaya saing Perak Menteri Besar Perak Saarani Mohamad industri teknologi hijau Perak ekonomi digital Perak nod perindustrian strategik Perak pembangunan modal insan TVET sektor perkhidmatan global Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Digital Perak Corporation Holdings dan A-Asign Corporation Sdn Bhd (A-Asign) pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Operasi Baharu A-Asign di Basco Avenue@Kepayang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2026.

Keupayaan syarikat tempatan yang beroperasi di Perak untuk melangkah ke pasaran modal dan penyenaraian di bursa saham adalah isyarat jelas mengenai kematangan tadbir urus negeri melalui dasar pembangunan yang jelas.

Dengan sokongan daripada pelbagai agensi seperti Digital Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), dan sebagainya, Perak berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Jika momentum ini dapat dikekalkan, tidak mustahil Perak bakal menjadi enjin utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam dekad akan datang dengan berteraskan kepaada sektor teknologi hijau, perkhidmatan digital, dan kepakaran teknikal tinggi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak di landasan perkukuh ekosistem AI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI