TANJUNG MALIM – Inisiatif pendidikan percuma kepada 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) melalui pengecualian yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bermula tahun 2026 disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkasa pendidikan inklusif negara.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, dasar menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, ia mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan akses pendidikan tinggi yang adil dan berdaya mampan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan OKU.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Awam turut menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi jelas aspirasi RPTM 2026–2035 dalam mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, holistik dan berorientasikan kesejahteraan pelajar.
“Pengecualian yuran pengajian kepada pelajar OKU merupakan satu pelaburan jangka panjang negara dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan berkeupayaan menyumbang kepada masyarakat.
“Pelaksanaan dasar itu perlu disokong dengan pengukuhan prasarana, latihan warga universiti serta dasar sokongan yang menyeluruh bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar OKU benar-benar berkualiti,” katanya.
Menurut beliau, UPSI juga komited untuk terus memperkasa pendidikan inklusif melalui penambahbaikan fasiliti, sokongan akademik dan kebajikan sejajar dengan aspirasi nasional.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata, inisiatif pengecualian yuran itu dapat meringankan beban kewangan pelajar OKU dan keluarga mereka.
Menurut Pengerusi Task Force Media dan Keterlihatan Universiti Awam Malaysia itu, selain itu menerusi inisiatif sama, ia juga membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti sosial dan pembangunan bakat.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan tinggi hanya kerana kekangan fizikal atau kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Task Force Media dan Keterlihatan Universiti Awam Malaysia yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan agenda kebajikan mahasiswa universiti awam, penyelarasan keterlihatan media Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti awam, pengukuhan kemenjadian mahasiswa, pelaksanaan program berimpak tinggi di peringkat universiti awam, serta perangkaan pelan strategik media HEPA universiti awam.
Mengulas lanjut Abdul Rasid berkata, dasar berkenaan turut memperkukuh peranan universiti awam sebagai pemangkin keadilan sosial serta penyumbang kepada agenda pembangunan insan negara.
“Universiti awam menyambut baik pelaksanaan dasar ini dan bersedia memperkukuh sokongan dari segi fasiliti, perkhidmatan kebajikan serta ekosistem pembelajaran yang mesra OKU,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
10,000 pelajar miskin tegar nikmati pendidikan percuma


