IPOH – Selepas Tasik Cermin di sini, Majuperak Holdings Berhad (MHB) kini memperluaskan usaha pembangunan kawasan ekopelancongan ke salah satu aset pelancongan ikonik di Perak iaitu Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung di Kampar pada tahun ini.
Inisiatif itu digerakkan melalui pemeteraian Perjanjian Konsesi selama 21 tahun antara anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu bersama Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi pengurusan di kawasan seluas 32.19 hektar.
Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pembangunan Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung akan dilaksanakan secara seimbang dengan memastikan aspek khazanah geologi dan ekosistem di kawasan tersebut dipelihara.

“Langkah ni akan disusuli dengan pembangunan fasiliti baru di kawasan sekitar termasuk bagi ‘glamping’ atau perkhemahan mewah, aktiviti lasak, serta penambahbaikkan dari aspek keselamatan.
“Pendekatan ‘inside–outside’ yang diterapkan memastikan aspek konservasi diberi keutamaan. Dan pada tahun pertama, kita menyasarkan jumlah pengunjung seramai 10,000 ke 25,000 orang dalam sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Bagi Pembangunan dan Pengoperasian Kawasan Ekopelancongan antara MHB dengan Majlis Daerah Kampar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Ia disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias, sambil disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Redza berkata, pelaksanaan pembangunan di Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung akan dilaksanakan secara tiga fasa dalam tempoh enam tahun.
Jelas beliau, ia bagi membolehkan setiap komponen projek dinilai dengan lebih terperinci meliputi pelbagai aspek antaranya impak alam sekitar, keselamatan dan kesediaan prasarana.
“Gua Tempurung mempunyai potensi besar dalam sektor ekopelancongan dan ekopengembaraan di samping dapat memanfaatkan status Perak sebagai salah satu destinasi utama pelancongan negara.
“Inisiatif ini turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan usahawan kecil, dengan penyertaan dalam rantaian pelancongan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di daerah Kampar,” katanya lagi.
Sementara itu Muhammad Yazurin Sallij berkata, MHB berharap melalui usaha pembangunan di Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung ia dapat menjadi sumber kewangan pendapatan berulang baharu kepada syarikat.

“Sebagaimana pengurusan kita di Tasik Cermin ia memberi sambutan yang menggalakkan terutama bagi pendapatan berulang syarikat.
“Di samping menjadi nilai tambah kepada ekonomi pelancongan negeri, kami percaya ini adalah langkah ke hadapan dalam memastikan pendapatan syarikat terus meningkat.
“Malah sektor ekopelancongan merupakan antara aktiviti yang menjadi sebahagian daripada portfolio MHB pada masa hadapan,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Majuperak, Shizen teroka pembangunan tenaga solar


