PM terpaksa ‘cuci’ masalah menteri dari partinya sendiri, dakwa Gulam

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu bersimpati dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa ‘mencuci’ masalah menteri-menteri dalam kalangan partinya sendiri untuk menentukan dasar-dasar baharu.

Ketuanya, Gulam Muszaffar berkata, umum tidak pula mendengar Perdana Menteri berbuat perkara yang sama kepada kalangan menteri-menteri UMNO.

“Pernah kita dengar YAB PMX bercakap untuk menyelesaikan masalah untuk menteri-menteri dari UMNO? Setahu saya tidak pernah. Ini boleh dilihat dan bezanya di antara Menteri PKR dan UMNO.

“Apabila melaksanakan dasar dan hala tuju baharu, menteri-menteri UMNO memperhalusi setiap inci dasar bagi kepentingan semua pihak sebelum diumum dan dilaksanakan.

“Bukan cara melepaskan batuk di tangga, flip-flop dan buat pusingan U bila majoriti rakyat mula bingit dan marah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri menyatakan akan mempertimbangkan dua sesi persekolahan bagi mengelak kepadatan dan kesesakan pelajar yang kini sedang berlaku bagi satu sesi di sekolah-sekolah yang berada di bandar.

Gulam sendiri pernah mengusulkan cadangan dua sesi persekolahan ketika Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menggalas jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“Mantan Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah mencadangkan idea tidak masuk akal iaitu membina sekolah vertikal.

“Ia telah mencetuskan perdebatan, permasalahan dan polemik baharu dalam kalangan pemegang taruh seperti ibu bapa pelajar, para guru dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, Gulam turut mempersoalkan pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek didakwa tidak konsisten dalam pelaksanaan ujian diagnostik untuk pelajar tahun satu berusia enam tahun.

“Kejap wajib, kejap yang terpilih, kejap sukarela, kini bila keadaan bertambah kusut dengan jawapan yang keliru daripada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

“Yang Amat Berhormat PMX terpaksa masuk campur untuk meredakan keadaan dan tidak mewajibkan ujian diagnostik,” katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri diharapkan menggantikan Fadhlina dengan calon lebih layak untuk menerajui Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ketidakcekapannya.

“Nasib baik mantan Yang Berhormat Menteri Wilayah sudah tiada dalam Kabinet, kini hanya menanti dan berharap agar Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga digantikan dengan orang lain.

“Agar kepala Yang Amat Berhormat PMX tidak bertambah pening dan terpaksa tanggung beban daripada menteri-menteri dari partinya sendiri yang tidak kompeten dengan melakukan perkara dan dasar yang pelik-pelik.

“Cukuplah sebelum ini telah ada dua menteri dan kini tinggal seorang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI