Trend guru bersara awal menurun – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Trend persaraan awal dalam kalangan guru di seluruh negara menunjukkan penurunan sekali gus memberi isyarat positif terhadap kestabilan tenaga pengajar serta kualiti pengajaran di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah guru bersara pilihan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencatatkan penurunan kepada 4,271 orang atau 0.99 peratus pada 2025 berbanding 5,082 orang atau 1.17 peratus pada 2024.

“Manakala jumlah guru bersara pilihan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan trend penurunan,” jelas beliau, sekali gus mencerminkan tahap kestabilan yang semakin baik dalam perkhidmatan perguruan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai trend perubahan jumlah guru termasuk statistik persaraan awal, pengambilan baharu serta kesannya terhadap kualiti pendidikan negara.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal komited menangani isu pengisian guru di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, sambil memastikan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan ialah strategi pengambilan guru secara berfasa, termasuk temu duga dan pelantikan dua kali setahun, berdasarkan kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sekolah KPM.

“KPM sentiasa komited dalam menangani isu pengisian guru di samping memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara dengan melaksanakan strategi pengambilan guru secara berfasa,” katanya.

Berdasarkan data KPM, trend pengambilan guru menunjukkan peningkatan ketara pada 2025 apabila seramai 20,173 guru baharu ditempatkan di sekolah KPM, berbanding 13,983 orang pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, hasil penempatan lebih 20,000 guru baharu berkenaan, kadar pengisian jawatan guru di seluruh negara kini mencapai 97.68 peratus setakat 31 Disember 2025.

Peningkatan pengambilan guru secara berfasa, khususnya pada 2025, telah membantu menstabilkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Usaha tersebut, katanya, turut diperkukuh melalui pemilihan calon guru berkualiti tinggi, pelaksanaan pembangunan profesional berterusan serta intervensi kesejahteraan psikologi bagi memastikan keberkesanan pengajaran.

Gabungan peningkatan pengambilan guru dan penurunan persaraan awal itu terbukti memberi impak positif terhadap pembelajaran murid apabila peratusan kelayakan menerima sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat daripada 85.20 peratus pada 2016 kepada 94.01 peratus pada 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti pendidikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI