Warisan bukan beban, aset pacu ekonomi dan pelancongan negara – Anwar

KUALA LUMPUR – Warisan tidak seharusnya dilihat sebagai beban masa lepas, sebaliknya sebagai aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bangunan warisan yang dihidupkan semula menjadi antara strategi penting untuk memacu kedatangan pelancong dari luar negara dan domestik.

Memberikan contoh Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pemuliharaannya bukan usaha untuk mengulang nostalgia, tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Usaha ini ialah teras kepada inisiatif WARISAN KL, iaitu pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya,” katanya ketika berucap pada majlis penyempurnaan pemuliharaan BSAS oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata pemuliharan BSAS ialah pendekatan yang selari dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 kerana negara ini bukan sahaja dikenali dengan keindahan alam dan kepelbagaian budaya, tetapi kekuatan naratif sejarah dan peradaban yang membentuk masyarakat.

Beliau berkata usaha menghidupkan semula bangunan warisan bukan sahaja strategi penting untuk memacu kedatangan pelancong luar negara dan domestik, tetapi lebih penting mencerminkan hasrat membina sebuah Kuala Lumpur yang moden dan dinamik, namun berakar pada sejarah serta nilai.

“Seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2026, projek ini meliputi kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad selain pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.

“Kita juga harus pastikan rakyat biasa dapat menikmati kemudahan ini. Pemuliharaan BSAS menjadi antara manifestasi awal yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat, namun pemuliharaan tidak boleh berhenti pada struktur semata-mata. Bangunan warisan mesti dihidupkan,” katanya.

Anwar berkata BSAS akan menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang menelusuri perjalanan bangunan ini dan ibu negara melalui lima ruang bertemakan merentasi tiga abad sejarah.

Selain itu, beliau berkata Galeri Royal Selangor akan mempamerkan seni kraf piuter sebagai cerminan legasi ekonomi, kreativiti dan daya usaha masyarakat Kuala Lumpur yang lahir daripada sejarah perlombongan bijih timah.

“Saya yakin BSAS dan keseluruhan kompleks bersejarah ini akan terus menjadi cerminan identiti negara. Sebuah negara yang maju dan progresif, namun tidak terputus daripada akar sejarahnya, membangun bukan sahaja dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan kemanusiaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata keberangkatan Sultan Ibrahim bukan sekadar menyempurnakan sebuah acara, tetapi mengingatkan semua pihak bahawa perjalanan negara ini sentiasa berakar pada sejarah, dipandu nilai dan dilindungi institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini, khususnya pasukan daripada Khazanah Nasional Berhad, semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Bangunan berkenaan dinamakan sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memperingati Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor semasa era pembinaannya dan dirasmikan oleh Frank Swettenham, iaitu Residen-Jeneral British pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1987.

BSAS juga menjadi saksi penubuhan negara ketika bendera Union Jack diturunkan buat kali terakhir pada detik 12 tengah malam, 31 Ogos 1957, menandakan berakhirnya pemerintahan British dan bermulanya era baharu negara yang merdeka dan berdaulat.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI