LUMUT – Fenomena air laut surut atau dikenali sebagai ‘laut terbelah’ di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di sini, terus menjadi tumpuan apabila menggamit kehadiran lebih daripada 3,000 pengunjung yang meluangkan masa bersempena cuti perayaan, pada Isnin.
Fenomena yang berlaku pada awal Februari setiap tahun itu menyebabkan keadaan laut seolah-olah kelihatan seperti terbelah sehingga membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Teluk Nipah dengan hanya berjalan kaki dengan jarak kira-kira 400 meter.
Menurut Pengarah Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Anas Malek Ishak, pada tahun ini pengunjung boleh merasai pengalaman fenomena itu selama tiga hari bermula Isnin.

Katanya, sepanjang tempoh kira-kira satu jam, pengunjung boleh berjalan kaki dari pantai menuju ke Pulau Giam sambil menikmati pemandangan di tengah-tengah laut yang memukau.
Menurut beliau, MPM mengadakan kerjasama dengan pihak penguatkuasa dan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perikanan bagi memastikan pengunjung dapat melintasi beting pasir itu dengan selamat.
“Selain kebersihan, kita mahukan tahap keselamatan pengunjung sentiasa terjaga kerana semasa melintasi beting pasir, pengunjung akan menjumpai pelbagai hidupan laut kecil.
“Ia termasuk anak ikan, timun laut, batu karang, sotong dan sebagainya. Jadi, adakalanya mereka tidak perasan dan akan terpijak hidupan ini yang mana ia beri kesan buruk kepada manusia dan hidupan itu sendiri.
“Oleh itu, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi ini, kita harap ia dapat mengurangkan sebarang risiko buruk di samping dapat memberikan pelajaran kepada pengunjung tentang kepentingan memelihara ekosistem laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.

Anas Malek berkata, selain anggota bomba, pemantauan keselamatan di air juga turut dibantu APM bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku pada sepanjang tempoh air laut surut itu berlaku.
“Selepas melaksanakan penilaian risiko, pihak bomba dan APM akan membunyikan wisel menandakan pengunjung boleh melintas beting pasir.
“Apabila didapati air laut mula pasang, wisel juga akan dibunyikan bagi memaklumkan kepada mereka untuk kembali ke Pantai Teluk Nipah kerana bimbang jika ada yang terkandas di Pulau Giam,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Mohd Saiful Bahri Abdul Talib berkata, pihaknya menggerakkan operasi kesiapsiagaan sepanjang tiga hari fenomena air laut pasang surut itu.

Kata beliau, seramai 10 anggota dikerahkan dengan tiga aset termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sebagai langkah bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Kita mula melepaskan pengunjung pada jam 10.30 pagi dengan paras air setinggi 0.3 hingga 0.4 meter dan apabila menjelang tengah hari, kita meminta pengunjung supaya segera naik ke darat kerana air naik dengan cepat,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Polis Balai Pangkor, Inspektor Muhamad Faizol Kamaluddin memaklumkan, seramai 17 anggota termasuk Unit Pelancong dan Amanita ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung di darat.
Beliau berkata, fokus utama pasukan polis adalah bagi memastikan ibu bapa tidak leka dalam mengawasi anak-anak di gigi air serta aspek keselamatan jalan raya termasuk pemakaian topi keledar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


