LUMUT – Fenomena laut seolah-olah terbelah pada awal Februari setiap tahun terus menjadi tarikan pelancong ke Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, di sini yang berpeluang berjalan kaki merentasi beting pasir sejauh kira-kira 400 meter menuju ke Pulau Giam.
Fenomena semula jadi itu menyebabkan paras air laut surut sehingga membolehkan pengunjung merasai pengalaman luar biasa berjalan di dasar laut cetek yang dipenuhi pasir dan hidupan laut kecil.
Pelancong antarabangsa dari Switzerland, Alf Zeigler, 64, berkata, dia berasa teruja dan tidak menyangka fenomena tersebut menarik kehadiran begitu ramai pengunjung sehingga suasananya seakan-akan sebuah pesta besar.

“Kami sekeluarga sangat ingin tahu bagaimana keadaannya melihat fenomena seakan-akan laut terbelah dan saya terkejut melihat jumlah pengunjung yang ramai.
“Ia suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila melihat orang ramai daripada pelbagai bangsa dapat berkumpul dan sama-sama merasai fenoma alam semula jadi yang menarik ini,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Nipah di sini pada Isnin.

Menurut Alf, pengalaman berjalan merentasi laluan laut dengan menerusi beting pasir itu merupakan kali pertama sepanjang kunjungannya ke Pulau Pangkor selama hampir empat minggu.
“Pada awalnya, permukaan dasar laut agak lembut, kemudian berubah menjadi kawasan berkarang, dan air semakin dalam sedikit demi sedikit.
“Walaupun saya basah separuh badan, tetapi pengalaman seperti ini amat menyeronokkan sepanjang kunjungan kami sekeluarga ke Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, pengunjung tempatan dari Taiping, D. Syiamala, 36, berkata beliau mengambil kesempatan sempena cuti perayaan Thaipusam untuk menyaksikan sendiri fenomena laut terbelah selepas sekian lama hanya mendengarnya.
“Selama lapan tahun saya hanya mendengar dan melihat di media sosial sahaja tentang fenomena laut terbelah di Pulau Pangkor ini.
“Oleh itu, pada cuti perayaan kali ini saya dan keluarga akhirnya berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman untuk berada di sini,” ujarnya.

Menceritakan tentang pengalaman berjalan kaki ke Pulau Giam, Syiamala yang juga seorang guru berkata, pada awalnya dia berasa ragu-ragu kerana paras air berhampiran pulau mencecah paras paha.
Ujarnya, namun dengan keberadaan anggota pihak berkuasa yang memantau keselamatan di kawasan tersebut memberi keyakinan kepada dia sekeluarga untuk meneruskan perjalanan.

“Semasa berada di separuh jalan, saya memang terfikir nak berpatah balik, tetapi mereka yakinkan kami boleh sampai. Apabila sampai di pulau, air cuma paras lutut.
“Selain itu, suasana di Pantai Teluk Nipah memang sangat sesak. Rasaya, ramai ambil kesempatan beriadah bersama keluarga selepas perkara ini tular di media sosial,” jelasnya.
Bagi pelancong dari Damansara, Selangor, Dr Mohd Shukor Sahudin, 62, pengalaman menyaksikan fenomena laut terbelah bukan sahaja luar biasa, malah memberi makna tersendiri buat keluarganya.

“Secara kebetulan kami empat sekeluarga datang bercuti di Pulau Pangkor, dan penduduk di sini memaklumkan kepada kami tentang fenomena laut terbelah ini.
“Dan saya fikir, jika ada peluang, saya memang suka tengok benda-benda yang jarang berlaku seperti ni,” katanya.
Dia yang juga seorang doktor perubatan memberitahu, kunjungannya ke Pantai Teluk Nipah juga bertujuan untuk mengukir memori indah bersama anak-anak yang turut teruja selepas dapat berjalan di beting pasir di tengah laut.
“Bagi saya ini adalah satu kejadian alam yang luar biasa dan jarang ditemui. Saya pernah pergi ke beberapa pulau lain, tapi fenomena seperti ini sangat unik. Dan ia mengingatkan kita tentang kebesaran dan ciptaan ALLAH,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fenomena ‘laut terbelah’ Pulau Pangkor gamit 3,000 pengunjung


