KUALA LUMPUR – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih sihat.
Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Edmund Lim berkata, pilihan raya PBT memberi kuasa terus kepada rakyat untuk memilih pemimpin tempatan mereka.
Menurutnya, apabila pemimpin dipilih oleh rakyat, tahap kebertanggungjawaban akan menjadi lebih tinggi kerana mereka perlu menjawab terus kepada pengundi, bukan semata-mata kepada pihak yang melantik.
Selain itu, tambahnya, Datuk Bandar dan ahli majlis PBT yang dipilih melalui pilihan raya lebih peka terhadap isu setempat serta lebih memahami keperluan komuniti kerana mereka bergantung kepada sokongan rakyat setempat untuk terus berkhidmat.
Dalam masa sama, ujar beliau, pilihan raya PBT turut memperkukuhkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi apabila memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam pentadbiran tempatan, sekali gus memupuk kesedaran sivik dan rasa memiliki terhadap bandar dan komuniti mereka.
Tambahnya, pilihan raya PBT juga dapat mempertingkatkan ketelusan dan kepercayaan awam apabila pilihan raya yang terbuka dan kompetitif membolehkan rakyat menilai visi, rekod dan keupayaan calon sebelum membuat pilihan.
“Walaupun sistem lantikan Datuk Bandar dan ahli majlis PBT sebelum ini mempunyai kelebihan tertentu, namun sudah tiba masanya untuk kita berbincang secara matang tentang kebaikan mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat.
“Pemimpin tempatan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana mandat mereka datang terus daripada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas penegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang berikrar akan menggagalkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini dipetik berkata, cadangan berkenaan dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha sebelum ini berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan pilihan raya PBT.
Tambah Edmund yang juga Setiasusaha Publisiti DAPSY Selangor, mengadakan pilihan raya untuk Datuk Bandar dan ahli majlis bukan sekadar soal sistem, tetapi soal prinsip bahawa bandar dan komuniti seharusnya dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat.
“Tapi nampaknya Dr (Muhamad Akmal) semakin hampir dengan cara dan pendekatan PAS, di mana apa sahaja cadangan daripada DAP akan dibantah tanpa menilai meritnya.
“Soal sama ada cadangan itu memberi manfaat kepada rakyat atau disokong oleh fakta seolah-olah tidak lagi penting, yang utama hanyalah membantah,” katanya. – MalaysiaGazette


